Friday, 6 March 2015

Istananya pondok usang, tilamnya kotak terbuang

Mohd Yusof menunjukkan tempat tidur seorang warga emas, Yusof Lasam di atas timbunan kain dan kotak terbuang di kampung Ujung Pasir, semalam. Gambar kecil: Yusof menunjukkan kad taraf penduduk tetapnya yang sudah rosak.

Sampah yang tidak digunakan dibakar, seterusnya mengundang pencemaran udara.

UJUNG PASIR - Sudah hampir 30 tahun dia tidur di atas longgokan sampah. Bau busuk yang meresap ke hidung tidak dihirau. Kekotoran yang melingkar tidak diendah.

Setiap malam, kain dan kotak terbuang menjadi tilam empuk Yusof Lasam, 70, untuk menjemput mimpi indah menghias tidur. Dan bangsal usang ini jadi kediaman tempat dia berlindung dari kesejukan.

Istana milik Yusof ini tidak pernah menikmat kemudahan elektrik. Malah segala keperluan air diangkutnya dari perumahan berhampiran.

“Dulu, saya pernah guna lilin dan pelita. Tapi sejak peristiwa badan saya hampir terbakar, saya tak berani lagi pakai lilin dan pelita. Sekarang cuma pakai lampu suluh sahaja,” katanya ketika ditemui di tapak pembuangan sampah haram di Jalan Panjang di sini, semalam.

Kata Yusof, keadaan usia yang sudah lanjut membataskannya melakukan sebarang pekerjaan berat.

Jadi dia tidak pernah memikirkan soal keselesaan asalkan dapat sesuap nasi untuk meneruskan hidup.

“Bukan keselesaan yang saya fikirkan, asalkan setiap hari ada wang beli makanan, itu sudah cukup.

“Saya akan pilih sampah untuk dijual. Saya dapat RM20 hingga RM30 sehari. Cukup beli makanan untuk terus hidup” katanya.

Menurut Yusof, tanah berkenan adalah milik seseorang dan dia ditugaskan menjaga tanah tersebut yang ditanami pokok kelapa dan beberapa pokok lain.

“Sebahagian hasil tanaman ini saya berikan kepada tuan tanah manakala hasil pungut barangan lusuh jadi milik saya sendiri.

“Setiap hari ada beberapa lori masuk ke kawasan ini buang sampah dan sampah itu saya pilih yang ada harga untuk dijual,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment