Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan Jumaat untuk mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Komisioner Jeneral Penjara yang menolak permohonannya untuk menghadiri sidang Parlimen.
Hakim Datuk Asmabi Mohamad menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan kehadiran Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara serta peguam Latheefa Koya yang mewakli Anwar.
Pada 18 Mac lepas, Anwar, 67, memfailkan permohonan itu dan menamakan Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara sebagai responden pertama
dan kedua.
Menerusi afidavit sokongan, Anwar yang kini berada di Penjara Sungai Buloh mendakwa bahawa beliau masih seorang ahli Dewan Rakyat dan Ketua Pembangkang memandangkan petisyen pengampunan yang dipohon kepada Yang di-Pertuan Agong masih belum diputuskan.
Beliau mengemukakan permohonan pengampunan untuk pembebasan itu pada 24 Februari lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya kerana kesalahan meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Anwar mendakwa keputusan kedua-dua responden yang tidak membenarkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat tersebut adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan terbatal.
Beliau memohon satu perintah bahawa keputusan Komisioner Jeneral Penjara bertarikh 4 Mac lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan dibatalkan melalui satu perintah certiorari.
Turut dipohon ialah perintah berbentuk mandamus yang mewajibkan Komisioner Jeneral Penjara membenarkan Anwar menghadiri sidang Dewan Rakyat pada 9 Mac hingga 9 April dan satu deklarasi bahawa Anwar berhak menghadiri sidang tersebut.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment