Tuesday 24 March 2015

29 peserta Himpunan Duduk dan Bantah GST masih ditahan polis



Hampir 200 peserta Himpunan Duduk dan Bantah GST berhimpun di perkarangan Balai Polis Kelana Jaya bagi menuntut pembebasan 82 individu. 

KELANA JAYA: 26 daripada 82 individu yang ditahan ekoran Perhimpunan Duduk dan Bantah GST pada Isnin telah dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Shah Alam malam tadi.

Sumber memberitahu Astro AWANI, pihak polis akan melakukan siasatan terperinci terhadap kesemua 26 individu terbabit.

Pada masa sama, tiga individu masih lagi ditahan di Balai Polis Kelana Jaya dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Selasa untuk sabitan kes.

Sebelum itu, dianggarkan lebih 200 peserta Himpunan Duduk dan Bantah GST berhimpun di perkarangan Balai Polis Kelana Jaya bagi menuntut supaya 82 individu yang ditahan polis sejak pagi Isnin dibebaskan segera.

Pada masa sama, mereka turut menuntut supaya setiap individu yang ditahan diberikan akses kepada peguam.

Keadaan agak tegang malam tadi apabila dua trak yang membawa kesemua 26 individu termasuk lelaki dan wanita terbabit dibawa keluar daripada Balai Polis Kelana Jaya.

Pihak polis menerusi Pasukan Light Strike Force (LSF) terpaksa bertindak apabila ada antara perusuh enggan membuka laluan sekaligus menghalang trak keluar daripada balai tersebut.

Keadaan kembali terkawal apabila majoriti perusuh yang ditahan sejak petang Isnin telah dibebaskan.

Sekumpulan kecil perusuh turut dilaporkan menuju ke IPD Shah Alam untuk memberi sokongan kepada 26 individu yang ditahan.

Turut kelihatan pada perhimpunan ini adalah beberapa pimpinan dari Pakatan Rakyat termasuk Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar serta kumpulan yang berkata mereka mewakili golongan mahasiswa.

Difahamkan perhimpunan di hadapan Balai Polis Kelana Jaya itu bermula sejak jam 6 petang pada Isnin setelah beberapa individu ditahan di Ibu Pejabat Kastam DiRaja Malaysia, Kelana Jaya pada siangnya.

Beberapa siri ceramah umum turut diadakan di perhimpunan malam ini. Ketua AMK Kelana Jaya, Saifullah Zulkifli dalam ucapannya memohon supaya pihak perhimpunan diberikan peluang untuk berbincang dengan pihak polis.

Penyerahan Memorandum kepada Kastam oleh Gabungan Bantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Ibu Pajabat Kastam di Kelana Jaya siang tadi turut kecoh selepas pertengkaran berlaku di antara polis dan sekretariat Bantah GST.

Memorandum terbabit turut mengemukakan beberapa soalan yang menuntut penjelasan berkaitan GST.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment