Tuesday, 24 March 2015

Kit Siang ajak bentuk kerajaan baharu

  • Lim Kit Siang
  • Lim Kit Siang

SHAH ALAM - Kewajaran pembentukan kerajaan baharu melibatkan ahli Parlimen parti kerajaan dan pembangkang dianggap relevan bagi mempertahan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang seperti yang dipetik dari Roketkini.com mendakwa, kemelut BN dan PR semakin meruncing serta langkah untuk mengemukakan usul persendirian bagi melaksanakan hudud di Kelantan oleh Pas akan menimbulkan krisis Perlembagaan, khususnya jika Umno menyokong enakmen berkenaan.

“Jika enakmen hudud kerajaan Pas Kelantan diluluskan menerusi dua usul persendirian di Parlimen dengan majoriti mudah, pelaksanaan undang-undang itu akan bertentangan dengan Perlembagaan dan boleh dicapai di mahkamah kerana bertentangan dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan berkenaan ‘Kesamarataan di sisi undang-undang’.

“Dalam senario politik baharu sedemikian, di mana Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengumumkan sokongan Umno terhadap enakmen hudud Pas, mungkin tiba masanya untuk membentuk pakatan ‘Selamatkan Malaysia’ yang terdiri daripada Ahli Parlimen dari parti kerajaan dan pembangkang yang mahu mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dengan seorang Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia yang baharu,” kata Kit Siang dalam majlis makan malam Ulangtahun DAP Bukit Bintang, malam semalam.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan pelantikan perdana menteri baharu menggantikan Perdana Menteri sedia ada.

Jelasnya, perdana menteri baharu boleh dilantik dari mana-mana parti politik kerajaan atau pembangkang yang ada sekarang.

“Dengan mengemukakan rang undang-undang persendirian bagi pelaksanaan hudud tanpa mempedulikan sama sekali keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi PR pada 8 Februari lalu bahawa sebarang rang undang-undang persendirian berkaitan hal itu perlu terlebih dahulu dibentangkan kepada majlis tersebut.

“Sebagai pelanggaran setelah Pas Kelantan melanggar Kerangka Kerja Dasar Bersama Pakatan dengan mengemukakan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan yang kemudiannya diluluskan oleh Dun Kelantan, Pakatan seolah-olah tidak lagi wujud di mata Presiden Pas,” tegasnya.

Kit Siang juga dalam pada itu menegaskan pandangan tersebut adalah pendirian peribadi beliau dan tidak mewakili parti DAP.

No comments:

Post a comment