Tuesday 31 March 2015

Kes guru Islamkan pelajar bawah umur di Sarawak sedang disiasat

FATIMAH: Sejurus laporan insiden berkenaan disiapkan, ada tujuh hari untuk tindakan diambil.

KUCHING: Satu siasatan menyeluruh dan rapi akan dilakukan mengikut prosedur standard operasi (SOP) Kementerian Pendidikan bagi menyiasat kes dua orang guru di sebuah sekolah di Miri yang didakwa cuba mengislamkan seorang pelajar Iban berusia 13 tahun.

Berita berkenaan kes itu telah menjadi viral di media massa pada 25 Mac lepas.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, siasatan itu akan dilakukan secara menyeluruh dan telus.

Ia bagi memastikan nasib kedua-dua pihak yang terlibat terbela sepenuhnya dan segala bukti akan dikumpul dan siasatan akan dilakukan dalam masa tujuh hari dari tarikh kejadian.

“Laporan perlu disiapkan dalam masa tiga hari selepas insiden berkenaan. Sejurus laporan disiapkan, ada tujuh hari untuk ambil tindakan. Kalau lebih awal lebih bagus,” ujar Fatimah pada sidang media di Kuching pada petang Isnin ketika diminta mengulas tentang kejadian berkenaan.

Fatimah yang juga menteri yang bertanggungjawab terhadap hal pendidikan Sarawak turut menyatakan usaha dua guru berkenaan yang cuba menukar agama pelajar itu tanpa kebenaran ibu bapanya adalah satu kesalahan.

“Daripada siasatan yang dijalankan, tindakan lanjut akan diambil terhadap guru terlibat mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam, Kelakuan dan Tatatertib (Pindaan 2002).

“Pihak kementerian sendiri yang akan ambil tindakan selepas meneliti laporan yang diterima,” jelas Fatimah.

Buat masa ini kedua-dua guru yang terlibat telah dibawa keluar dari lokasi oleh pihak kementerian dan ditempatkan sementara di Pejabat Pelajaran Daerah Miri sepanjang proses siasatan.

Semua itu bagi memastikan tidak timbul sebarang masalah dan situasi tegang antara pihak berkaitan termasuk pihak sekolah, keluarga mangsa dan masyarakat setempat.

Dalam insiden kontroversi tersebut, pelajar berkenaan turut mengakui kepada Fatimah dalam satu pertemuan pada Jumaat lepas bahawa dia berminat untuk memeluk agama Islam malah neneknya juga berminat berbuat demikian.

Namun dari segi undang undang, pelajar berkenaan perlu mendapatkan kebenaran dari kedua-dua ibu bapanya untuk menukar agama meskipun beliau dijaga oleh datuk dan neneknya sejak dilahirkan.

Kedua, guru berkenaan juga harus mengetahui bahawa soal penukaran agama bagi mereka yang masih di bawah umur, adalah perlu untuk mendapat persetujuan ibu bapa mereka.

Fatimah turut menyeru kepada semua guru agar sentiasa peka dan bijak dalam menangani isu sensitif berkaitan kaum dan agama di negeri berkenaan.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment