- Amjad Khan berjaya mencium ular berbisa ini.
MANA tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, itulah kelebihan yang ada kepada anak Raja Ular Malaysia, Allahyarham Ali Khas Samsuddin iaitu Amjad Khan Ali Khan, 29 yang mampu menjinakkan ular berbisa.
Kebolehan dimiliki anak kelahiran Taiping ini adalah sesuatu yang sangat luar biasa kerana kehidupannya bersama dengan ular telah bermula sejak seawal usianya setahun lagi.
Kematian bapanya akibat terkena patukan ular tedung selar ketika membuat persembahan pada 2006 menjadi pembakar semangat buat anak kedua daripada lima beradik ini untuk terus melakar nama setanding dengan arwah bapanya.
"Saya tak pernah trauma dengan tragedi hitam itu sebaliknya berasa bangga sebab mampu mewarisi seni menjinakkan ular sawa, ular tedung selar, ular senduk, ular punti dan ular merah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, dia tidak pernah berasa sedih apabila kehidupan kanak-kanaknya tidak sama seperti kanak-kanak lain yang seronok bersama alat permainan sebaliknya dia dibiasakan dengan pelbagai jenis ular.
"Mungkin itulah kelebihan dan keistimewaan yang saya miliki dan warisi daripada arwah ayah. Pastinya tidak akan dirasai oleh kanak-kanak lain seusia saya," katanya.
Impi pecah rekod arwah bapa
Amjad berkata, dia memasang impian untuk memecahkan rekod dicipta arwah bapanya dengan bercadang untuk tinggal bersama lebih 400 ekor ular berbisa selama 40 hari.
"Besar harapan saya untuk merealisasikan impian memecahkan rekod dicipta arwah bapa, namun sehingga kini saya masih lagi mencari beberapa penaja untuk mencapai impian itu," katanya.
Menurutnya, sejak kecil lagi dia sudah mendapat didikan dan latihan daripada arwah bapa dan kini hanya dia seorang dalam keluarga yang mewarisi keistimewaan dan kebolehan itu.
“Kerana dah terbiasa dengan kehidupan pelbagai jenis ular, tak ada sedikit pun perasaan takut dalam diri saya, tambahan pula bermain dengan ular adalah minat saya sejak kecil,” katanya.
Katanya, walaupun sudah bermain dengan ular sejak 28 tahun lalu dan bergelar Raja Ular sejak 10 tahun lalu, dia juga pernah berdepan detik cemas apabila dipatuk binatang berbisa itu sehingga terlantar di hospital.
"Namun itu lumrah perjalanan kehidupan saya dan selepas ini akan melakukan lebih banyak persembahan di seluruh Malaysia," katanya.
Amjad yang sudah melakukan hampir 3,000 persembahan di serata dunia akan meneruskan kerjaya arwah bapanya itu kerana tidak ramai yang memiliki kebolehan seperti dimiliki mereka.
“Arwah bapa sumber inspirasi saya dan saya anggap ular-ular ini seperti anak sendiri.
"Saya juga perlu mengetahui dan mengenali spesies ular ini secara lebih mendalam seperti masa makan, rehat dan tempoh ia bersalin kulit,” katanya.
Ada lapan orang anak buah
Amjad berkata, dia kini mempunyai lapan orang anak buah yang mempunyai minat sama dan sering bersama-samanya beraksi dengan ular.
"Saya juga telah melatih mereka melakukan persembahan-persembahan besar dan salah satunya telah berjaya memenangi World Most Talent Show sehingga mendapat 72 juta penonton di laman sosial YouTube," katanya.
Anak buah Amjad, Normal Akma Rizuan, 23, yang berasal dari Bagan Serai, Perak, berkata, sudah empat tahun dia berlatih bersama Raja Ular.
"Walaupun sudah berkahwin namun ia tidak pernah jadi halangan untuk saya membuat persembahan bersama Amjad.
"Saya lakukan ini kerana minat mendalam. Ahli keluarga saya ada menghalang seawal pembabitan saya dalam aktiviti ini kerana bimbang berlaku perkara tak diingini namun akhirnya mereka mula memahami minat dan kehendak saya," katanya.
Normala pada tahun lalu telah berjaya melakukan cabaran tinggal bersama 100 ekor ular berbisa selama sebulan di Muzium Darul Ridzuan, Ipoh atas sokongan dan dorongan suami serta rakan-rakan.
“Itu antara pengalaman berharga yang tidak akan saya lupa kerana walaupun seorang wanita, saya berjaya melalui cabaran tersebut,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi anak buah Amjad, Ridzuan Hamid atau lebih dikenali dengan nama Dwan, 24, juga antara individu yang mula melibatkan diri dalam aktiviti bermain dengan ular.
“Kerana minat mendalam, saya mula berjinak-jinak dengan ular atas didikan Amjad Khan. Jika ada masa lapang, saya akan ikut dia ke beberapa lokasi untuk buat persembahan.," katanya.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment