KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara dan denda terhadap penerbit filem serta dua anak perempuannya atas kesalahan menerima deposit tanpa lesen sah dan kegiatan pengubahan wang haram.
Hakim Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan itu selepas meneliti hujahan dan rekod rayuan Datuk Adzhar Sulaiman dan dua anak perempuannya iaitu Noradzma dan Noradzrin yang diwakili peguam C Vignesh Kumar dan PG Cyril.
Pada 3 Oktober 2011, Mahkamah Sesyen menjatuhi hukuman penjara dan denda terhadap Adzhar, dan dua anak perempuannya kerana menerima deposit tanpa lesen sah berjumlah lebih RM100 juta dan kegiatan pengubahan wang haram RM59 juta antara Julai 2006 dan Januari 2009.
Adzhar dihukum penjara dua tahun dan didenda RM1 juta bagi kesalahan menerima deposit tanpa lesen dan Noradzma dihukum penjara setahun dan didenda RM500,000 bagi kesalahan yang sama.
Bagi kesalahan pengubahan wang haram, Adzhar dihukum penjara lima tahun, Noradzma dihukum penjara tiga tahun dan Noradzrin dihukum penjara setahun.
Sementara itu, Noradz Travel & Services merupakan syarikat berasaskan pelancongan yang diterajui oleh tiga beranak itu juga turut didenda RM5 juta kerana kesalahan menerima deposit tanpa lesen yang sah.
Dalam penghakimannya, Hakim Mohd Azman berkata mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen Rozana Ali tidak bersifat berat sebelah ketika mendengar dan membuat keputusan seperti dihujahkan.
"Semasa Hakim Rozana mendengar kes ini, suaminya yang dikatakan pernah menjadi pelabur bukan lagi menjadi rakan kongsi kongsi kepada perayu," katanya.
Katanya, kesemua perayu sememangnya mengambil deposit daripada peserta-peserta dan mahkamah turut mendapati mereka terlibat secara langsung dalam kegiatan pengubahan wang haram itu.
Beliau berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan intipati-intipati pertuduhan. Selain itu, Hakim Mahkamah Sesyen telah menimbangkan pembelaan kesemua perayu dengan wajar.
"Oleh itu, mahkamah berpendapat adalah selamat untuk menolak rayuan perayu-perayu," katanya.
Bagaimanapun, Hakim Mohd Azman membenarkan permohonan peguam untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mahadhir Mohd Khairudin dan Mohd Farez Rahman.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment