Tuesday, 31 March 2015

GST: Kahwin dengan air matalah gamaknya!


MEMANDANGKAN hari bahagia yang dirancang tidak lama sahaja lagi, hati yang sudah semestinya berbunga-bunga menanti hari bahagia tiba-tiba jadi gerun!

Apa tidaknya mengenangkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan bermula secara rasmi, esok.

Kenapa perlu sebut perkataan 'rasmi'?

Sebab rasanya untuk bakal pengantin seperti penulis, kami sudah 'tengok-tengok' barangan untuk majlis perkahwinan sejak tahun lepas, walhal majlis tahun depan. Biasalah, teruja!

Asal ada hari terluang, ringanlah kaki penulis nak masuk ke kedai-kedai yang menjual barangan keperluan majlis. Oleh kerana menetap di Shah Alam, maka premis yang dipilih juga berhampiran dengan kediaman.

Dua hari lepas, penulis singgah lagi ke kedai barang-barang kahwin sambil membelek beberapa barangan yang berkenan di hati.

Kelihatan si gadis jurujual sibuk menyusun bunga artifisial di rak bunga... penulis lalu menghampirinya.

“Adik, untuk bekas hantaran ini, berapa harganya?

“Untuk bekas hantaran yang ini harga biasanya dalam RM 21.90, tetapi sekarang ada potongan harga jualan sehingga 20 peratus,” kata gadis manis itu membalas pertanyaan penulis.

“Lepas GST harga masih sama ke?," tanya penulis hendakkan kepastian.

“Lepas GST, naiklah sikit, hampir semua barang dalam kedai naik,” jawabnya dengan senyuman teragak-agak.

Penulis yang ketika itu bersama ibu dan adik perempuan, terdiam seketika. Tanpa sedar, penulis mengeluh panjang. "Ish nak kahwin pun kena GST!".

Memang kalau diikutkan, perkahwinan Islam sebenarnya mudah. Yang menjadikan ia susah adalah adat. Demi adat yang sudah tentu melibatkan air muka keluarga, majlis sederhana bagi meraikan hari bahagia perlu diadakan juga. Ya majlis sederhana pun, bukan sikit bajetnya kan!

Meskipun hanya merancang majlis kecil, tempias GST pasti terkena. Mana tidaknya, baju pengantin ada GST, khidmat katering disertakan GST, bahkan kad kahwin pun terkena GST!

Penulis teringat kembali soal jawab penulis bersama syarikat cetakan kad perkahwinan dalam talian (online) yang berlangsung beberapa hari lalu.

Tidak puas hati dengan pengumuman kenaikan harga yang dikenakan akibat GST, penulis mempersoal tindakan pihak pengurusan syarikat percetakan tersebut yang menaikkan harga perkhidmatan mereka.

“Saya tak faham kenapa awak (agensi perkhidmatan cetakan kad perkahwinan) nak naikkan harga sedangkan kadar 6 peratus (GST) yang awak kenakan pelanggan boleh dituntut atau claim dengan kastam,” tanya penulis di ruangan komen yang disediakan di laman sosial Facebook syarikat terbabit.

“Laa.. Saya pun pelik. Dalam sistem GST yang kami daftar, kami perlu buat macam-macam untuk GST. Kami hanya tukang collect (kutip), bukan apa-apa pun,” jawab pengendali laman sosial Facebook syarikat itu.

Berpinar seketika mata penulis ketika membalas apa yang ditulis oleh wakil syarikat tersebut. Kalaulah sana sini jadi tukang 'collect' bagaimana pula nasib rakyat yang hanya ‘tukang keluar duit’ seperti penulis ini?

Jika inilah ‘kebaikan GST’ yang dimaksudkan, maka berkahwin dengan airmatalah penulis nanti!

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment