Friday 20 February 2015

Dua nelayan hilang ditemui lemas

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berjaya menemui dua mangsa bot karam akibat ribut kencang dan ombak besar di perairan Kuala Gula hari ini. - Foto ihsan bomba

IPOH: Dua nelayan yang hilang selepas bot mereka terbalik akibat dipukul ombak di Pancang Gombang, Kuala Gula berhampiran Rumah Api Kuala Gula dekat Kuala Kurau di sini semalam, ditemui lemas hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Perak, Hasrin Hasbi, berkata mayat Muhammad Farid Hussin, 35, dari Kuala Gula ditemui pada 8.20 pagi manakala mayat warga Indonesia Patahhul Karim, 27, ditemui pada 10.34 pagi tadi.

"Kedua-dua mayat ditemui terapung dengan mayat Muhammad Farid ditemui di perairan menghala utara manakala mayat Patahhul arah ke selatan," katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.

Mayat mereka dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

MUHAMMAD Farid Hussin, 35, dari Kuala Gula (kiri) dari Kampung Nelayan Kuala Gula dan warga Indonesia, Patahhul Karim, 27. - Foto NSTP

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat itu, yang bermula semalam, melibatkan 28 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau, Selama, Bagan Serai, Parit Buntar dan Pasukan Penyelamat Dalam Air dari Kuala Kangsar serta Ipoh.

"Operasi dijalankan selama 24 jam dan sebanyak lima bot digunakan untuk mencari mangsa," katanya. 

Semalam, pihak bomba menerima maklumat mengenai tiga daripada empat bot nelayan terbalik pada 7.40 pagi. Ketika kejadian, nelayan terbabit sedang memunggah pukat dan angin kuat menyebabkan bot mereka dipukul ombak sebelum terbalik.

Empat bot berkenaan dinaiki enam nelayan tetapi dua daripada mereka lemas.

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment