Friday 20 February 2015

Aksesori telefon pintar kesan HIV, sifilis dalam 15 minit

WASHINGTON: Penyelidik Amerika Syarikat (AS) dan Rwanda sedang membangunkan aksesori telefon pintar yang berupaya mengesan HIV dan sifilis selepas menganalisa setitis darah daripada jari dalam tempoh 15 minit, lapor agensi berita Xinhua. 

Peranti kos rendah itu berupaya memainkan peranan makmal ujian darah dan berupaya mengesan tanda penyakit seperti HIV, antibodi treponemal khusus untuk sifilis dan antibodi bukan-treponemal yang mengesan jangkitan aktif sifilis. 

Kos pengeluaran peranti itu hanya sekitar AS$34 (RM122), jauh lebih rendah daripada kaedah diagnostik ELISA yang kini digunakan di hospital, dianggarkan membabitkan kos AS$18,000 (RM65,000) . 

Aksesori itu baru-baru ini diuji guna oleh kakitangan perubatan di Rwanda dan menguji darah yang diambil daripada jari 96 pesakit, sebahagian besarnya adalah wanita yang terdedah untuk mewariskan penyakit yang disebarkan kegiatan seks kepada anak mereka. 

Kumpulan penyelidik berkata peranti berkenaan memproses data dan memaparkan keputusan pemeriksaan di skrin telefon pintar dalam tempoh 15 minit dan berfungsi hampir sebaik ujian ELISA. 

Bagaimanapun, ketika ini hampir semua pesakit lebih yakin dengan dengan ujian makmal yang biasanya mengambil masa lebih dua jam. 

"Kajian kami menunjukkan uji kaji makmal yang mengambil masa lama, kini boleh disempurnakan menerusi aksesori telefon pintar," kata Samuel Sia, profesor bersekutu Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan di Universiti Columbia. 

"Keupayaan ini akan mengubah kaedah pelaksanaan penjagaan kesihatan di seluruh dunia," katanya. 

Peranti atau dongle itu mudah saja disambungkan kepada telefon pintar atau komputer. Ia kecil dan ringan untuk dibawa. 

Justeru, penyelidik percaya peranti itu akan mempercepatkan proses pengesanan awal HIV dan sifilis terutama menerusi klinik di lapangan atau mudah alih. 

Kajian menggunakan peranti itu yang turut dijalankan dengan kerjasama Pusat Bioperubatan Rwanda, disiarkan dalam jurnal sains Amerika Syarikat, Translational Medicine. 

- Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment