Friday 20 February 2015

ABPBH 2014: Tercalon empat kategori, Zizan serah kepada rezeki

Zizan Razak. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Pelawak, pengacara serta pelakon, Zizan Razak enggan meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap pencalonannya dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014, sebaliknya menyerahkan kepada rezeki. 

Zizan berkata, anugerah berprestij berkenaan turut memberikan sepenuh hak kepada peminat untuk mengundi selebriti tempatan pilihan mereka.

"Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana berpendapat rezeki itu datang dari Allah dan bergantung kepada pengundi itu sendiri. 

"Malah, saya juga masih bersyukur dengan pencalonan saya di ABPBH 2014 ini. Saya lihat saingan antara pelawak sebagai sesuatu yang sihat dan sekali gus sebagai medan memperjuangkan hak pelawak.

"Penghargaan diberikan kepada peminat dengan turut sama turun padang membantu mereka untuk mengundi. Secara tidak langsung kehadiran saya sebagai hadiah kepada peminat yang memberi sokongan kepada kerjaya seni saya," kata Zizan ketika ditemui pada sesi fotografi di PNB Darby Park, petang tadi.

Zizan tercalon bagi kategori Pengacara TV Lelaki Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular dan Artis Komedi Lelaki Popular untuk ABPBH kali ini.

Bagi kategori online pula, Zizan dicalonkan bagi kategori Artis Lelaki Stailo dengan juga membariskan Keith Foo, Nazim Othman, Shukri Yahya dan Zul Ariffin.

ABPBH 2014 akan berlangsung di Genting Highlands pada 5 April depan dengan bertemakan Cinta.

Zizan Razak bersama maskot Cicakman. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Dalam perkembangan terkini, Zizan sedang dalam rangka promosi untuk filem terbarunya berjudul Cicakman 3 yang bakal berada di pawagam pada 12 Mac ini. 

Legasi adiwira yang pernah dipopularkan oleh Saiful Apek itu menampilkan Zizan sebagai teraju utama dengan Lisa Surihani sebagai heroin.

"Ini adalah peluang keemasan yang diberikan oleh pihak KRU kepada saya. Kehadiran saya dalam filem ini sebagai penyambung Saiful Apek dan bukan menggantikan dia. Jadi peminat diminta agar menonton dan menilai sendiri sama ada saya dibayangi oleh Saiful Apek," kata Zizan.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment