Friday 30 January 2015

Tiga nelayan Indonesia ditahan

Bot nelayan Indonesia yang didapati menceroboh perairan negara ini.

LUMUT- Alasan tidak menyedari telah memasuki perairan Malaysia digunakan tiga nelayan Indonesia bagi mengelak ditangkap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Daerah Maritim 3 Lumut.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 3 Lumut, Kapten Maritim Abdul Razak Johan berkata, itu antara alasan biasa diberikan nelayan Indonesia untuk melepaskan diri daripada kesalahan.

Menurutnya, dalam kejadian jam 11.05 pagi kelmarin, seorang tekong dan dua awak-awak warga Indonesia ditangkap kerana didapati memasuki perairan Malaysia untuk menangkap ikan.

“Mereka memberi alasan tidak sedar masuk ke perairan negara sedangkan ketika itu mereka berada sejauh 32 batu nautika dari sempadan.

“Alasan seumpama ini sudah biasa kita dengar sedangkan mereka sebenarnya mengetahui telah memasuki perairan negara,” katanya dalam sidang media, di sini semalam.

Abdul Razak berkata, tiga warga Indonesia bersama bot tradisional mereka ditahan KM Malawali diketuai Leftenan Ismba Mubarak Haidir bersama 16 anggota yang melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan Perak.

Jelasnya, anggota Maritim mengesan bot yang tidak mempunyai nombor pendaftaran dan hanya mempunyai tanda nama RIZKY dalam keadaan mencurigakan sedang menangkap ikan kira-kira 40 batu nautika dari barat Pulau Pasir Hitam, Pantai Remis.

“Hasil pemeriksaan dibuat, kami mendapati tekong dan dua awak-awak berusia 22 hingga 34 tahun yang tidak memiliki dokumen berada di atas bot berkenaan.

“Hasil siasatan pula mendapati bot itu berpengkalan di Pantai Labu, Medan, Indonesia telah keluar ke laut untuk menangkap ikan sejak Isnin lalu,” katanya.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Seksyen 15 (1)(a).

“Kita menasihatkan nelayan asing supaya tidak memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran kerana tindakan tegas akan diambil sebagaimana tindakan yang sama dilaksanakan negara jiran.

“Begitu juga nelayan tempatan diingatkan supaya tidak memasuki perairan negara lain jika tidak mahu diambil tindakan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, statistik pemeriksaan melibatkan perikanan pada tahun 2014 yang lalu di Perak dicatatkan sebanyak 3,153 pemeriksaan.

“Tangkapan yang dibuat ialah sebanyak 73 kes melibatkan pukat tunda, bot kenka, pukat sorong, pukat hanyut dan pukat jerut.

“Kita juga menerima sebanyak 116 aduan daripada nelayan pantai mengenai bot nelayan yang melanggar zon penangkapan ikan dibenarkan,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment