Friday 30 January 2015

MH370: MAS akan mula proses bayaran kepada waris

MAS akan mula proses bayaran kepada waris - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) akan memulakan proses bayaran pampasan kepada waris MH370 berikutan pengumuman pesawat itu kemalangan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada Khamis.

MAS dalam kenyataannya berkata, pihaknya akan memastikan pampasan yang adil dan munasabah dibayar kepada semua 239 penumpang dan anak kapal MH370.

Menurut kenyataan itu lagi, MAS juga akan akan mengerahkan sumbernya di pusat sokongan keluarga yang beribu pejabat di Kuala Lumpur dalam usaha mempercepat proses pampasan.

Tambah kenyataan itu, operasi di pusat komunikasi dan sokongan keluarga di Beijing, China juga akan diteruskan.

Kata kenyataan itu, untuk kemudahan urusan ahli keluarga, MAS turut menambah kakitangan yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin.

Bagaimanapun menurut kenyataan itu, kakitangan MAS daripada Jabatan Sumber Manusia kekal sebagai hubungan utama bagi waris keluarga dan anak kapal penerbangan MH370.

Kenyataan itu menambah, sejajar dengan komitmen memastikan para waris dimaklumkan berhubung perkembangan terbaharu dan maklumat sahih, satu seksyen khas telah diwujudkan dalam laman web rasmi MH370 http://www.mh370.gov.my, khusus bagi kalangan waris berkenaan.

Ia antara lainnya, termasuk maklumat mengenai usaha mencari dan siasatan, proses pembayaran ganti rugi, jawapan bagi pertanyaan waris serta pelbagai bentuk bantuan yang disediakan untuk mereka. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment