Friday 30 January 2015

Nowseeheart cipta lagu khas buat arwah Bob


Anggota kumpulan Nowseeheart.

KEHILANGAN Ahmad Firdaus Baharuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Bob ternyata meninggalkan kesan mendalam terhadap ahli-ahli kumpulan Nowseeheart yang lain apatah lagi mereka sudah bersahabat baik sejak di bangku sekolah.

Justeru, melalui album terbaharu mereka, Katakan, kumpulan Nowseeheart yang dianggotai empat sahabat, Muhammad Sariman Abd Manap, 39, Idzhar Jumali, 39, Mohd Huzaimi Mohd Zaini, 38, dan Azahari Abdul Rahman, 36 mendedikasikan lagu Damai Di Sana khas buat temannya itu.

Mewakili anggota lain, Idzhar memberitahu, lagu Damai Di Sana adalah hasil ciptaan Ito Lara dan Azahari dihasilkan khusus untuk mengenang arwah Bob,

"Lagu ini sememangnya dibuat khusus untuk Bob daripada kalangan rakan-rakannya yang cukup rapat dengannya

"Pemilihan Ito Lara adalah kerana dia adalah individu yang sangat rapat apatah lagi dia pernah menjadi pengurus kami.

"Malah, kami turut mengambil masa yang lama ketika merekodkan lagu ini ekoran perasaan sedih yang cukup tebal," katanya kepada Zass ketika ditemui, baru-baru ini.

Allahyarham Bob menghembuskan nafas terakhir pada 20 Mac 2014 akibat dari komplikasi buah pinggang, jantung dan paru-paru berair.

Bermula dengan enam ahli, Nowseeheart kini hanya tinggal berempat ekoran pengunduran Mujahid Abdul Wahab dan kematian arwah Bob. Ditebak mengenai penambahan ahli baharu, Muhammad Sariman memberitahu perkara itu kemungkinan tidak akan berlaku.

"Alhamdulillah, kami tiada ahli baharu. Biarlah kami hanya berempat.

"Kami tidak akan bertambah, tetapi jika berkurang sekali pun mungkin kerana sibuk dengan komitmen kerja yang tinggi.

"Kini, mungkin berempat, akan datang bertiga atau berdua. Kami tetap Nowseeheart.

"Lagipun, persahabatan ini sudah terjalin dengan sangat lama. Kami boleh diibaratkan seperti adik beradik," katanya.


- Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment