Friday, 30 January 2015

Persenda insiden MH370: KPN arah kesan Fazel

Twitter Ketua Polis Negara

SHAH ALAM - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengarahkan pasukan Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC), PDRM menyiasat seorang pemilik akaun Twitter dengan nama Fazel ekoran tindakannya mengaitkan insiden MH370 sebagai satu konspirasi. 

Fazel memberi respons kepada catatan Twitter Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersimpati dengan tragedi yang menimpa ke atas pesawat MAS itu.

Bagaimanapun catatan Najib yang berbunyi, "hari ini (malam tadi) ingatan saya adalah bersama keluarga MH370, pencarian akan diteruskan. Malaysia Australia dan China akan komited untuk meneruskan pencarian pesawat tersebut" dibalas dengan catatan Fazel yang mendakwa ia "ia bukan kemalangan tapi satu konspirasi".

Ekoran itu, Khalid menerusi laman mikro Twitter miliknya mengarahkan unit PCIRC untuk mengesan dan menyiasat individu yang menggelarkan dirinya sebagai Fazel itu.

"PCIRC, PDRM sila kesan dan siasat ‘Fazel’ di bawah ini,” tulisnya.

Semalam, kerajaan menerusi Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan bahawa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang, secara rasmi diisytiharkan sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa, dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu dianggap telah terkorban.

Pesawat malang itu hilang pada 8 Mac, 2014, ketika dalam penerbangan ke Beijing setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a comment