Friday 30 January 2015

MH370 diisytihar kemalangan

Azharuddin semasa sidang media di Putrajaya hari ini mengisytihar semua 239 penumpang dan anak kapal MH370 dianggap terkorban. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang, hari ini secara rasmi diisytiharkan sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa, dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu dianggap telah terkorban.

Ketika membuat pengumuman itu, kerajaan Malaysia menegaskan bahawa misi mencari pesawat Boeing 777 itu tetap menjadi keutamaan.

Kerajaan komited meneruskan usaha untuk merungkai tragedi malang itu dengan kerjasama dan bantuan berterusan daripada kerajaan China dan Australia, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Ketika membuat pengumuman itu menerusi televisyen yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM, beliau berkata: "Dengan hati yang amat berat dan kesedihan yang mendalam, bagi pihak Kerajaan Malaysia, kami secara rasmi mengisytiharkan Penerbangan MH370 Malaysia Airlines sebagai satu kemalangan dan bahawa semua 239 penumpang dan anak kapal dalam pesawat MH370 dianggap telah terkorban."

"Kami telah berusaha dan menjalankan pencarian daripada setiap sudut dan meneliti semua data yang sedia ada. Walaupun semua usaha ini dijalankan sejak 327 hari lepas (sehingga semalam), namun usaha pencarian itu malangnya masih belum menemukan lokasi pesawat yang hilang itu," katanya.

Azharuddin berkata kerajaan Malaysia mengakui bahawa pengisytiharan mengenai kemalangan MH370 itu amatlah sukar bagi keluarga dan orang tersayang 227 penumpang dan 12 anak kapal untuk pertimbangan, apatah lagi menerimanya.

Beliau berkata 13 negara, juga kehilangan warganya terdiri daripada lelaki dan perempuan dalam tragedi ini tetapi bagaimanapun adalah penting bagi anggota keluarga cuba untuk meneruskan kehidupan biasa, atau kehidupan seperti biasa sebaik mungkin selepas kehilangan mengejut ini.

"Tanpa niat langsung untuk meredakan perasaan anggota keluarga, adalah diharapkan bahawa pengisytiharan ini membolehkan keluarga mendapatkan bantuan yang diperlukan, terutama menerusi proses pampasan," kata Azharuddin.

Pesawat Malaysia Airlines itu hilang pada 8 Mac, 2014, ketika dalam penerbangan ke Beijing setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.

Azharuddin memberitahu negara dan penonton antarabangsa bahawa pengisytiharan MH370 adalah satu kemalangan dibuat mengikut Piawaian Lampiran 12 dan 13 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (biasanya dikenali sebagai Konvensyen Chicago).

Azharuddin berkata Bab 1 Lampiran 13 konvensyen menyatakan bahawa definisi "kemalangan" termasuk "pesawat hilang".

Ia juga menyatakan bahawa "pesawat dianggap hilang apabila pencarian secara rasmi telah dihentikan dan bangkai pesawat tidak ditemukan".

Lampiran 12 konvensyen seterusnya menyatakan bahawa istilah "mencari" merujuk kepada operasi untuk mencari orang yang berada dalam kesukaran.

Azharuddin berkata fasa mencari dan menyelamat dijalankan pada hari pesawat hilang sehingga 28 April 2014 dengan kawasan pencarian meliputi Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Andaman dan selatan Lautan Hindi.

Beliau menegaskan bahawa operasi pencarian di bawah permukaan air masih berterusan pada masa ini dan operasi itu dijalankan oleh empat buah kapal iaitu Go Phoenix, Fugro Discovery, Fugro Equator dan Fugro Supporter. Pencarian telah meliputi kawasan seluas lebih 18,600 kilometer persegi sehingga semalam.

Azharuddin berkata berdasarkan analisis semua bukti yang ada dan maklumat fakta yang menyokongnya, data ini menyokong kesimpulan bahawa Penerbangan MH370
telah berakhir di selatan Lautan Hindi.

Berdasarkan data yang sama, katanya, pihak berkenaan membuat kesimpulan bahawa pesawat telah kehabisan bahan api di kawasan tertentu di selatan Lautan Hindi, dan bahawa pesawat kini bersemadi di dasar laut berhampiran kawasan yang ditakrifkan.

"Ini adalah kawasan terpencil, jauh dari mana-mana tempat pendaratan yang mungkin. Ia juga kawasan dengan keadaan laut bergelora dengan kedalaman yang diketahui melebihi 6,000 meter.

"Selepas 327 hari (sehingga 28 Jan 2015) dan berdasarkan semua data yang ada dan berdasarkan keadaan yang dinyatakan sebelum ini, peluang untuk hidup di kawasan itu adalah sangat tidak mungkin," katanya sebelum mengisytiharkan bahawa Penerbangan MH370 adalah satu kemalangan.

Beliau merakamkan perasaan simpati yang mendalam kepada semua mereka yang terlibat dalam apa yang disifatkannya sebagai kemalangan dahsyat sambil berkata ia merupakan saat yang mengecewakan bagi semua mereka yang berusaha dalam misi mencari MH370.

"Kami tidak pernah goyah dalam komitmen kami untuk meneruskan usaha mencari pesawat MH370 dan mengakhiri episod sedih ini bagi semua, terutama bagi keluarga penumpang dan anak kapal MH370," kata ketua pengarah DCA itu.

Sambil menekankan bahawa pengisytiharan itu tidak bermakna ia sudah berakhir, Azharuddin berkata: "Kami akan meneruskan dengan kerjasama dan bantuan daripada kerajaan China dan Australia.

"MH370, penumpang dan anak kapalnya senantiasa akan diingati dan diberi penghormatan."

Azharuddin berkata kerajaan Malaysia memberi jaminan bahawa Malaysia Airlines akan melaksanakan tanggungjawabnya berhubung dengan hak yang sah mengikut undang-undang dan kepentingan waris keluarga sebagaimana termaktub di bawah instrumen antarabangsa yang berkaitan dan undang-undang yang relevan, dengan pertimbangan sewajarnya kepada amalan antarabangsa.

"Ini termasuk memenuhi proses pampasan sama ada ia dilaksanakan melalui perbincangan atau melalui litigasi. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment