Monday 19 January 2015

Tapis untuk dapat skrip yang bagus, bukan sebab seks atau ganas - Aktivis filem

Tapis untuk dapat skrip yang bagus, bukan sebab seks dan ganas

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan penapisan filem dan drama dimulakan daripada skrip perlu dilakukan bukan hanya untuk memastikan tiadanya unsur seks dan ganas tetapi untuk mendapatkan skrip yang bagus, kata aktivis filem tempatan.

Aktivis filem, Al Jafree Md Yusop berpendapat tapisan skrip jika hanya dilakukan untuk menyekat adegan seks, tahyul dan ganas semata-mata tidak mencukupi.

"Benda yang tidak nyata pun boleh jadi seks atau ganas kalau seorang pengarah atau penulis skrip itu kreatif dan mahu ia ada dalam filem mereka.

"Bukan satu masalah untuk membuat penapisan kepada skrip filem atau drama tetapi tapisan itu hendaklah dibuat kerana mahu mencari skrip yang bagus, yang mempunyai jalan cerita yang bagus," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Katanya, garis panduan bukan halangan untuk seorang penerbit atau pengarah menghasilkan filem yang bagus dan mempunyai jalan cerita yang baik.

Filem Iran jelas beliau, merupakan contoh filem yang mempunyai jalan cerita atau skrip yang bagus biarpun negara tersebut mengenakan garis panduan yang sangat ketat.

"Jangan harap filem Iran akan ada unsur seks kerana garis panduan mereka sangat ketat, pelakon wanita seksi pun tidak ada tetapi filem mereka bagus.

"Tetapi dengan garis panduan yang sangat ketat mereka boleh hasilkan filem yang bagus dan diiktiraf kerana skrip mereka bagus.

"Jangan harap di Iran akan ada filem seperti KL Gangster atau Mr Perfect 10, kerana garis panduan mereka sangat ketat, lebih ketat dari kita.

"Jadi kalau mahu ditubuhkan badan penapisan skrip ia perlu ada objektif yang jelas, perlu memainkan peranan untuk meningkatkan mutu filem tempatan," katanya lagi.

Namun bagi penulis, Hasmi Hashim atau lebih dikenali sebagai Buddhi Hekayat, penguatkuasaan penapisan filem dan drama bermula dari skrip bukan satu penyelesaian.

Malah beliau berpendapat, jika diwujudkan satu lagi badan penapisan ia akan bertindih dengan peranan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

"Setiap bidang sudah ada pakar masing-masing, agama ada yang pakar dalam bidang agama, kita panggil mereka ini ulama, begitu juga bidang penulisan skrip, memang sudah ada yang pakar dalam menghasilkan skrip, yang kita panggil penulis.

"Jangan disekat kebebasan penulis dan beri kepercayaan kepada penulis untuk menghasilkan karya mereka kerana seorang penulis yang bagus tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh.

"Penulis atau pengkarya peka dengan persekitarannya, jadi tidak perlu bimbang dengan mereka," katanya.

Dalam satu temubual dengan Mingguan Malaysia, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri menyarankan supaya penguatkuasaan penapisan filem dan drama dimulakan daripada skrip.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas bahan hiburan tempatan yang dilihat tiada batasan dari segi pelakon melakonkan watak.

Dr Zulkifli memberi contoh filem arahan pengarah dari Libya, Omar Mukhtar yang disifatkan mempunyai kandungan baik dan pengajaran yang tinggi.

"Cuba kita tengok filem Omar Mukhtar, berapa juta orang tengok tiada masalah pun. Jadi isi filem itu sendiri perlulah menekankan perkara-perkara yang baik dan penting dan perlu ada batasan-batasannya," Dr Zulkifli dipetik sebagai berkata oleh Mingguan Malaysia.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment