Monday 19 January 2015

Mangsa banjir di Sarawak meningkat, Perak dan Kelantan menurun

Anggota Jabatan Pertahanan Awam Sarawak membantu memindahkan perabot penduduk di Kampung Batu Kitang

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di bahagian Limbang, Sarawak bertambah serius malam ini dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat manakala jumlah mangsa banjir di Perak dan Kelantan menunjukkan penurunan.

Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir di bahagian Limbang meningkat malam ini kepada 442 orang daripada 99 keluarga, berbanding 224 orang petang tadi.

Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak, Salihin Annuar yang dihubungi malam ini berkata di Kuching, keadaan hampir sama seperti petang tadi dengan 26 keluarga di beberapa daerah dalam bahagian Kuching masih berada di pusat pemindahan.

Beliau berkata di bahagian Mukah pula jumlah mangsa yang dipindahkan berkurangan kepada 28 keluarga, membabitkan 58 orang mangsa, yang kini berada di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Kuala Balingian.

Sementara itu, tinjauan di kawasan seperti Batu Kintang, Batu Kawa, dan Rantau Panjang, dan Sungai Tengah di sini mendapati paras air masih sekitar satu meter, namun tiada pemindahan besar-besaran setakat ini.

Di KELANTAN, pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Temangan, Machang ditutup 6 petang tadi apabila kesemua 30 mangsa yang ditempatkan di pusat itu dibenarkan pulang ke kediaman mereka.

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri itu berkata sehingga 8 malam ini, 354 mangsa melibatkan 74 keluarga berada di sembilan pusat pemindahan di Kuala Krai berbanding 472 mangsa daripada 103 keluarga berada di 12 pusat pemindahan, pada petang tadi.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan kepada 80 mangsa daripada 21 keluarga berbanding 158 orang daripada 50 keluarga petang tadi.

Jurucakap MKN Perak berkata sehingga malam ini, sebanyak dua pusat pemindahan masih beroperasi di dua daerah iaitu Perak Tengah dan Hulu Perak.

Jumlah mangsa di Perak Tengah menurun kepada 36 orang manakala di Hulu Perak sebanyak 34 orang.

- Sumber: Bernama | Januari 18, 2015

No comments:

Post a Comment