Monday 19 January 2015

Nasi Kandar Line Clear diserbu, peralatan disita

GEORGE TOWN: Isu perebutan giliran restoran nasi kandar popular Pulau Pinang, Nasi Kandar Line Clear di George Town terus panas apabila Bahagian Perlesenan dan Bahagian Penguatkuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) merampas meja dan kerusi tanpa sebarang notis awal pagi Isnin.

Dalam kejadian pada 4 pagi itu, sepasukan 40 pegawai dan anggota MPPP menyerbu masuk ke premis berkenaan dan mengambil meja membancuh teh, meja makan dan kerusi.

Selain itu, MPPP juga didakwa cuba mengambil pelbagai barangan lain tetapi berjaya dihalang oleh pengusaha restoran terbabit.

Salah seorang waris restoran terbabit, Lokman Madinah mendakwa tindakan MPPP itu cukup mengejutkan kerana tiada sebarang notis pemberitahuan diberikan kepada pemilik restoran berkenaan.

Beliau mendakwa tindakan itu adalah zalim kerana apa yang terjadi adalah masalah keluarga dan MPPP seharusnya bertindak sebagai orang tengah dan bukannya bertindak sedemikian.

"Kenapa mereka datang pukul 4 pagi? Kata hendak bagi notis, tetapi mana notis terakhir mereka? Sebenarnya kita sudah hantar surat untuk hendak pergi ke mahkamah. Jadi, tolong hormati pihak mahkamah.

Beliau turut mempertikaikan kesesuaian tindakan MPPP tersebut kerana isu perebutan hak milik restoran itu di kalang waris dan akan didengar di mahkamah minggu depan," kata Lokman.

"Kita hormati pihak mahkamah. Sebab itu kita tidak bertindak semasa operasi pagi tadi. Kita hanya duduk di kedai dan tunggu," ujarnya.

"Kami ingin kerjasama daripada Yang Dipertua MPPP Datuk Pathiyah Ismail, hendak mintak jasa baik mereka. Jangan menzalimi 11 ahli keluarga ini. Biar kami selesaikan perkara ini di mahkamah," tambah Lokman.

Operasi sita itu turut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di restoran tersebut.

Susulan kejadian itu, pihak restoran telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pagi tadi.

Setakat ini, MPPP belum mengeluarkan sebarang kenyataan media berhubung operasi tersebut.

Pada bulan Jun lalu, media melaporkan pihak berkuasa tempatan telah mengambil inisiatif mencari jalan keluar kepada kemelut perebutan hak restoran itu bagi memastikan ia terus beroperasi.

Nasi Kandar Line Clear adalah salah satu jenama nasi kandar yang sinonim dengan Pulau Pinang dan telah beroperasi di sebuah lorong di Jalan Penang sejak tahun 1950-an.

Bagaimanapun operasi hak milik restoran 24 jam itu tercetus di antara tiga sepupu yang masing-masing mendakwa mempunyai hak mutlak ke atas premis berkenaan.

Mereka adalah keluarga Abdul Latiff Thulkarunai, Sahubarali Mohd Hanibah and Pathumah Iskandar.

Berikutan perselisihan tersebut, keluarga Abdul Hamid Seeni Pakir yang beroperasi di premis berkenaan enggan melepaskan tapak berkenaan kepada pemilik lesen restoran Line Clear.

Berdasarkan perjanjian asal keluarga berkenaan, mereka bersetuju untuk menjalankan operasi restoran berkenaan secara sistem giliran setiap tahun.

Berikutan itu, keluarga Abdul Hamid dibenarkan menjalankan operasi Nasi Kandar Line Clear dari tahun 2008 hingga tahun 2010.

Perbalahan keluarga ini tercetus apabila Abdul Hamid enggan menyerahkan hak operasi kepada keluarga Sahaburali pada tahun 2011.

Pada Jun tahun lalu, Jabatan Perlesenan MPPP telah memanggil satu mesyuarat melibatkan keluarga terbabit namun mereka gagal mencapai kata putus.

MPPP, dalam satu surat bertarikh 23 Disember lalu telah menasihatkan kesemua pihak terbabit untuk mencari jalan penyelesaian berdasarkan perjanjian asal keluarga itu. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment