Saturday 19 April 2014

Wanita seludup dadah untuk anak di mahkamah

Wanita seludup dadah untuk anak di mahkamah
Nor Salawati (tengah) dan pegawainya menunjukkan dadah diseludup wanita di mahkamah.


BALIK PULAU - Seorang wanita berusia 56 tahun, bertindak menyeludup dadah jenis heroin kepada anak lelakinya dalam bilik perbicaraan di Mahkamah Balik Pulau di sini yang menghadapi tuduhan memiliki dadah, kira-kira jam 11.15 pagi, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, wanita itu ditahan selepas polis pengiring ternampak suspek memberi satu bungkusan plastik berwarna hitam kepada anaknya selepas selesai perbicaraan.

Beliau berkata, ketika kejadian, anaknya baru dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Selepas menyerahkan bungkusan itu kepada anaknya yang juga orang kena tuduh (OKT), anaknya kemudian menyerahkan bungkusan berkenaan kepada rakannya juga OKT.

“Sebelum itu, polis pengiring memberi amaran kepada wanita berkenaan supaya tidak memberi sebarang benda kerana ternampaknya mengekori OKT sambil memegang sesuatu,” katanya di sini, semalam.

Bagaimanapun, wanita itu berdegil lalu menyerahkan bungkusan kepada anaknya.Berikutan itu, polis merampas bungkusan berkenaan dan menahan OKT serta ibunya.

“Polis mendapati ada empat ketulan mampat yang dibungkus dengan plastik hitam dipercayai dadah jenis heroin. Ia dibalut dengan gumpalan tembakau sebelum dimasukkan dalam beg plastik.

“Dadah seberat 9.4 gram ini bernilai kira-kira RM500,” katanya.

Anak lelaki wanita berkenaan serta rakannya masih dalam tahanan reman penjara bagi kes Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Wanita itu dalam proses reman hari ini (semalam). Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan penjara tidak kurang lima tahun atau seumur hidup serta 10 sebatan jika bersalah,” katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment