KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman enggan mengulas panjang tentang dakwaan mengenai keretakan rumahtangganya.
Malah dia memohon supaya diberikan sedikit masa sebelum dia mengumumkan kedudukan statusnya dengan isterinya yang juga merupakan bekas anggota kumpulan Elite iaitu Fiza.
“Saya tidak mahu komen panjang tentang perkara ini, doakan sahaja yang terbaik untuk rumah tangga kami.
“Apa-apa cerita tentang rumah tangga kami InshaAllah saya akan beritahu kelak,” katanya seperti yang dipetik mStar Online.
Mengulas mengenai gosip tersebut, Adam mengakui sebagai selebriti segala berita baik dan buruk akan dapat dihidu oleh pihak media dan masyarakat.
“Apa yang saya boleh cakap kami baik-baik sahaja dan tidak bergaduh, kami cuma sibuk dengan kerja masing-masing. Saya anggap ia sebagai satu ujian,” ujarnya.
Selain itu, Adam juga turut menafikan dakwaan melarikan diri daripada pihak media bagi mengelak ditanya mengenai isu rumahtangganya dalam sebuah majlis baru-baru ini.
“Saya balik awal pada majlis berkenaan minggu lalu sebab ada hal peribadi, manakala saya terpaksa membatalkan sebuah sesi fotografi kerana mahu pulang ke Sabah berikutan ada perkara peribadi yang perlu diuruskan,” jelasnya.
Pasangan Adam dan Fiza telah mendirikan rumahtangga pada 26 September 2013.
--ASTRO Awani
No comments:
Post a Comment