Saturday, 19 April 2014

Makan minum dalam kelambu

Makan minum dalam kelambu
Walaupun buta, Mohd Harun tetap membantu kakaknya, Che Puteh untuk minum.


POKOK SENA - “Saya sudah puas berubat sejak 20 tahun lalu kerana gatal seluruh badan dan kini mata pula menjadi buta hingga terpaksa berhenti kerja."

Demikian luahan Mohd Harun Hat, 47, dari Kampung Tuba, Mukim Gajah Mati, dekat sini.

Menurutnya, dia kini semakin dihimpit derita apabila terpaksa menjaga kakaknya, Che Puteh Hat, 72, yang mengalami kemalangan tiga tahun lalu dan patah tulang belakang hingga lumpuh.

"Setahun selepas kemalangan itu, kakak yang menghadapi tekanan hidup turut buta.

"Kini segala keperluan kakak saya yang uruskan, namun saya terpaksa meminta saudara yang tinggal berdekatan jika kakak mahu ke tandas," katanya. 

Menceritakan detik permulaan terkena penyakit gatal itu, Mohd Harun berkata, dia mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) tetapi masih tidak sembuh dan terpaksa mendapatkan rawatan di klinik swasta.

"Semasa awal penyakit ini, saya terpaksa makan dan minum dalam kelambu kerana badan tidak boleh kena angin yang boleh mengakibatkan kegatalan.

"Apabila terlalu lama menghidapi penyakit ini, seluruh badan menjadi kehitaman dan saya turut ditinggalkan isteri," katanya.

Menurutnya, kulit badan akan merekah dan jika berhenti mendapatkan rawatan, badan akan berbau busuk hingga lalat hinggap ke badan.

"Sejak mendapat rawatan di klinik swasta, penyakit saya ini mula berkurangan tetapi jika tidak mengambil ubat, badan akan berair serta berbau,” katanya.

Kini, dia hanya bergantung kepada bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan.

"Melalui bantuan ini saya beli ubat dan keperluan harian. Namun masih tidak mencukupi kerana setiap bulan saya terpaksa beli ubat RM80 sebulan dan bakinya tidak cukup untuk menyara kehidupan saya dan kakak.

"Pernah saya memohon menambah wang bantuan dari JKM tetapi ditolak,” katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu dua beradik itu bolehlah menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional 02130-2900013453-2.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment