Saturday, 19 April 2014

Perak terus layu

Perak terus layu
Nasir (kanan) bersaing merebut bola dengan Norshahrul Idlan Talaha.


ENTAH apa agaknya yang berlaku pada skuad Liga Super Perak musim ini, setelah mempamerkan aksi cemerlang di awal musim, The Bos Gaurus (TBG) dilihat seakan mula ‘layu’ pertengahan saingan liga dan berterusan hingga ke penghujung pusingan pertama.

Memasuki pusingan kedua, Kejor Yeop Skor itu dilihat semakin parah apabila tewas pada dua aksi awal kepada Selangor dan terbaru Johor Darul Ta'zim (JDT) di gelanggang sendiri yang sekali gus mencatat sejarah hitam dalam sejarah bola sepak Perak.

HILANG SABAR

Justeru sejurus tamat perlawanan penyokong sudah mula hilang sabar dengan situasi semasa pasukan hingga menyaksikan kekecohan di dalam serta di luar stadium hingga menyebabkan sekelompok penyokong JDT diarahkan berada di trek dan padang demi keselamatan.

Lebih malang apabila ada dalam kalangan petugas media turut cedera dipercayai akibat terkena balingan objek keras dalam suasana kekecohan berkenaan.

Situasi berkenaan secara tidak langsung memaksa campur tangan Pasukan Polis Simpanan Persekutan (FRU) mengawal keadaan hingga terpaksa melepaskan bom asap serta semburan air (water canon) bagi mengawal suasana.

PAMER ISYARAT

Pastinya penyokong sudah mula memberi isyarat kepada Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) itu sendiri agar segera bertindak bagi menangani masalah kemerosotan pasukan pada ketika ini.

Apa tidaknya, ketika penyokong sudah mula kembali ghairah memenuhi stadium menyaksikan ‘legasi baru’ skuad Seladang beraksi secara tiba-tiba pula rentetan kekalahan menjelma.

Tidak cukup di gelanggang lawan, kesebelasan pemain turut berputih mata di gelanggang sendiri.

Ya, biarpun kekalahan berkenaan tidak melibatkan jumlah jaringan besar, namun ianya sudah cukup meletakkan skuad TBG pada kedudukan tercorot Liga Super pada ketika ini.

TUGAS BERAT

Aksi menarik pemain import baharu Perak, Milan Purovic pada aksi Liga Super menentang JDT di Stadium Perak, Selasa lalu dilihat berjaya memberi sedikit harapan kepada para penyokong dan pasukan terutamanya ketumpulan penyudah di hadapan gawang lawan yang menghantui pasukan selama ini.

Pastinya tugas berat menanti walau siapa juga yang dilantik mengemudi TBG , samada jurulatih baharu, ataupun mengekalkan khidmat Abu Bakar Fadzim atau Burn.

Di atas kertas, kedudukan Perak kini yang sekadar mengumpul tujuh mata pastinya mengundang resah dalam kalangan penyokong dan kemuncak keresahan berkenaan telah pun dilahirkan menerusi insiden kekecohan di Stadium Perak tempoh hari.

-- Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment