Wednesday 22 October 2014

Selangor beri RM300 kepada mangsa tanah runtuh di Bukit Beruntung

Selangor beri RM300 kepada mangsa tanah runtuh di Bukit Beruntung - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri bersetuju menyalurkan bantuan wang tunai RM300 kepada setiap keluarga mangsa tanah runtuh di Pangsapuri Teratai di Bukit Beruntung.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah mengambil langkah proaktif membantu semua mangsa dengan keperluan asas sejak hari kejadian.

"Antara barangan keperluan dibekalkan termasuk tilam, bantal, makanan dan beberapa keperluan lain untuk semua termasuk warga emas serta bayi. Setakat ini dilaporkan 158 keluarga sudah didaftarkan di pusat penempatan sementara di sini.

"Semua mangsa perlu terus ditempatkan di pusat penempatan sementara selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) menarik semula kenyataan bahawa keadaan di sini didapati selamat," katanya dalam kenyataan terbaharu di dalam blog azminali.com.

Azmin turut memaklumkan bantuan itu melalui catatan terbaharunya di laman Twitter.

Blog: Tanah Runtuh: Setiap Keluarga Dapat RM300http://t.co/NigqrEGszd— Mohamed Azmin Ali (@AzminAli) October 22, 2014

Pada Isnin, penduduk di pangsapuri Apartmen Teratai, Taman Bunga Raya, terkejut apabila satu kejadian tanah mendap berlaku di kawasan mereka.

Kejadian yang dipercayai berpunca daripada kegagalan struktur tanah akibat pergerakan air itu dikhuatiri menjejaskan Blok K dan L apartmen berkenaan.

Dalam pada itu, Azmin memberitahu, Kerajaan Negeri akan memantau kawasan berkenaan dengan bantuan JKR, Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat..

Jelasnya, berdasarkan laporan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), JKR dan IKRAM, pergerakan tanah masih berlaku di kawasan kejadian.

Sehubungan itu, katanya, pemantauan akan terus dijalankan pihak berkuasa dan tempohnya dianggarkan dalam masa satu sehingga tiga minggu.

"Kerajaan Negeri mementingkan keselamatan penduduk. Buat masa ini kita belum boleh benarkan penduduk kembali ke rumah.

"Pada masa sama, pihak pengurusan sedang berusaha membawa masuk blok konkrit untuk menahan tebing supaya tanah tidak runtuh.

"Jika usaha ini berjaya, penduduk boleh kembali ke rumah masing-masing dalam masa terdekat," katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM500,000 untuk kerja-kerja penyelenggaraan cerun selain RM150,000 lagi sebagai bantuan tunai kepada mangsa berkenaan.

Kejadian itu dianggap terburuk setakat ini dengan penduduk terbabit dipindahkan ke pusat penempatan sementara iaitu tiga sekolah berhampiran.

Kali pertama kejadian hampir sama berlaku pada 2009.

- Sumber: ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment