Wednesday 22 October 2014

Pesakit lumpuh dapat berjalan semula selepas pembedahan sel saraf

Pakar-pakar yang terlibat mendapati bahawa sel-sel dari hidung yang ditanam di dalam tulang belakang membolehkan gentian saraf yang rosak bersambung semula - AFP Photo


LONDON: Seorang lelaki yang mengalami masalah lumpuh di bahagian anggota kakinya kembali mampu berjalan semula selepas menerima satu rawatan revolusi hasil penemuan dunia perubatan terbaharu oleh saintis dari Britain.

Pencapaian itu dilihat sebagai satu kejayaan besar, meskipun ada sesetengah pihak mahu pendekatannya diambil secara berhati-hati.

Darek Fidyka, 40 yang lumpuh dari paras dada ke bawah, sudah boleh mula berjalan menggunakan alat bantuan berjalan selepas pembedahan sel saraf dari hidungnya yang dipindahkan ke dalam tulang belakangnya.

Menurut laporan jurnal yang diterbitkan oleh Cell Transplantation, proses pemindahan tersebut telah dilakukan di Poland.

“Bila deria rasa itu datang kembali, saya berasa seolah-olah dilahirkan semula. Ia perasaan yang menakjubkan sukar digambarkan,” kata Fidyka kepada program Panorama terbitan saluran British Broadcasting Corporation (BBC) yang memfilemkan kisahnya.

Fidyka yang lumpuh akibat ditikam dengan pisau dalam satu serangan pada tahun 2010 kini sedang menjalani proses pemulihan di pusat rawatan Akron Neuro-Rehabilitation Centre di Wroclaw.

Sel Olfactory Ensheathing (OECS) yang merupakan sebahagian daripada deria bau telah digunakan dalam rawatan tersebut kerana ia dapat membantu gentian saraf dihasilkan semula oleh tubuh pesakit.

Pakar-pakar yang terlibat mendapati bahawa sel-sel dari hidung yang ditanam di dalam tulang belakang membolehkan gentian saraf yang rosak bersambung semula, walaupun penyelidik lain skeptikal dengan penemuan tersebut.

"Apa yang kami lakukan adalah mewujudkan satu prinsip - gentian saraf yang boleh tumbuh semula dan memulihkan fungsi,” kata Geoff Raisman, ketua bahagian pertumbuhan semula saraf dari Institut Neurologi Universiti College di London.

Ahli-ahli sains yang lain mahu agar tindakan berwaspada diambil bagi keputusan ini dengan menunggu lebih banyak keputusan ujian klinikal didapati dari kes ini.

Selama dua tahun lumpuh, Fidyka tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan walaupun telah menjalani beberapa sesi fisioterapi intensif.

Tanda-tanda pemulihan awal pada tiga bulan pertama selepas pembedahan tersebut ditunjukkan apabila paha kirinya mula berotot.

Tiga bulan kemudian, Fidyka memulakan langkah pertamanya dengan berpaut pada susur tangan.

Kini, Fidyka dapat berjalan semula dengan menggunakan alat bantuan berjalan serta mengalami perubahan positif pada deria pundi kencing dan ususnya.

Kajian ini dibiayai oleh UK Stem Cell Foundation dan Nicholls Spinal Injury Foundation (NSIF) yang diasaskan oleh seorang chef David Nicholls setelah anaknya Daniel lumpuh dalam kemalangan pada 2003 akibat kemalangan di kolam renang.


No comments:

Post a Comment