Wednesday 22 October 2014

GST tidak mungkin naikkan kadar inflasi


KUALA LUMPUR - Ada kemungkinan kadar inflasi tidak meningkat apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan tahun depan berdasarkan senarai panjang barangan berkadar sifar dan dikecualikan GST, kata seorang perunding percukaian.

Ketua Percukaian Cukai Tidak Langsung Deloitte Touche Tohmatsu Tax Services Sdn Bhd, Robert Tsang berkata, senarai berkenaan akan memberikan pengguna dan perniagaan banyak pilihan yang membolehkan mereka berjimat-cermat dalam perbelanjaan harian.

"Tidak ada kepastian bahawa GST akan menyebabkan harga naik, namun kita perlu tunggu untuk melihat tindak balas peniaga terhadap regim percukaian tersebut.

"Pengguna dan peniaga sudah pasti akan berhati-hati ketika membeli barang dan perkhidmatan yang dikenakan GST dan menghadapinya secara berhemah," katanya kepada pemberita di luar Seminar TaxMax Deloitte di sini hari ini.

Beliau berkata, Akta Anti-Pencatutan juga akan membantu mengawal harga dan memastikan peniaga tidak menaikkan harga sesuka hati selepas pelaksanaan GST.

Pengarah Cukai Deloitte Tax Services Sdn Bhd, Bruce Hamilton berkata, pengguna akan menggunakan media sosial sepenuhnya untuk menghebahkan peniaga melampau yang tidak beretika.

"Ini akan memberikan satu gambaran negatif terhadap sesuatu perniagaan, jadi mereka akan serik untuk menaikkan harga secara berlebihan.

"Kini terlalu mudah menyebarkan maklumat kepada orang ramai berbanding 10 atau 15 tahun lalu. Ini satu isu penting yang peniaga perlu sedar," katanya.

Kira-kira 400 peserta menghadiri seminar bajet tahunan Deloitte Touche Tohmatsu yang membincangkan Bajet 2015 yang menjejas pengguna dan peniaga. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment