Wednesday 22 October 2014

2 sahabat ditemui mati berpelukan

Keluarga Nur Azdriana tidak dapat menahan kesedihan menatap jenazahnya.
Keluarga Nur Azdriana tidak dapat menahan kesedihan menatap jenazahnya.

PASIR GUDANG – “Kakak ajak saya ke tasik itu sebab Yunis mahu berenang,” itu pengakuan saksi kejadian Muhammad Aiman Nurhassan, 9 yang juga adik kepada mangsa lemas, Nur Azdriana 11.

Nur Azdriana dilaporkan lemas bersama sahabatnya Yunis Semut, 10, ketika mandi di sebuah bekas lombong Jalan Camar, Taman Nusa Indah, kira-kira jam 6.47 petang, kelmarin.

Bagaimanapun mayat kedua-dua sahabat ini yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Kopok, di sini, ditemui oleh pihak bomba dan penyelamat kira-kira jam 10.12 malam, kelmarin dalam keadaan berpelukan.

Muhammad Aiman yang kelihatan masih terkejut dengan kejadiannya menimpa kakak dan rakannya itu memaklumkan ketika sampai di tasik berkenaan Yunis terus terjun lalu tenggelam.

“Selepas nampak Yunis tenggelam, kakak mahu terjun untuk selamatkannya, saya cuba halang kerana takut kakak akan turut lemas. Tapi, kakak terus terjun, selepas itu kakak langsung tidak timbul.

“Saya cuba minta tolong tetapi tiada sesiapa di kawasan itu. Saya nampak ada orang yang sedang memancing di hujung tasik tapi dia tidak dengar jeritan saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Muhammad Aiman memaklumkan selepas melihat kedua-dua mangsa tenggelam, dia terus berlari pulang ke rumahnya sebelum memaklumkan insiden yang berlaku kepada ibu mereka, Noraini Ahadun, 30-an.

Jenazah Nur Azdriana dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Cahaya Masai, di sini, semalam selepas Zohor.

Suasana kediaman Nur Azdriana bertambah pilu selepas neneknya, Daulah Hassan Nur, 65 yang baru tiba dari Sabah tidak menahan kesedihan ketika menatap wajah cucu kesayangannya itu buat kali terakhir.


Tasik bekas lombong perlu dipagar elak tragedi


Bapa mangsa lemas di sebuah bekas lombong di Taman Nusa Damai mencadangkan supaya tasik berkenaan di pagar bagi mengelakkan tragedi yang menimpa anaknya itu berulang.

Semut Gayuh, 60 berkata, kedudukan tasik berkenaan agak sunyi justeru jika sebarang kejadian tidak diingini seperti yang menimpa anak bongsunya, Yunis, 10, tiada siapa akan tahu.

“Saya hanya mengetahui berita mengenai kejadian yang menimpa anak saya bersama rakannya itu kira-kira jam 6.00 petang dan terus bergegas di lokasi berkenaan.
“Sebelum itu, saya sendiri tidak pernah tahu kawasan berkenaan ada tasik.

Saya dan isteri (Samba Jawan, 50) pada mulanya sangkakan anak kami lemas di kawasan parit atau longkang berhampiran kediaman kami,” katanya.

Dia ditemui ketika upacara penghormatan terakhir terhadap Yunis di kediaman mereka di Taman Scientex, di sini. Mayat murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Kampung Kopok, itu akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kristian Kong-Kong, di sini, hari ini.

Semut berkata, mereka sedang menanti ketibaan ahli keluarganya yang terbang dari Seri Aman, Sarawak untuk upacara penghormatan terakhir.

Jarak antara kediaman kedua-dua mangsa untuk ke tasik berkenaan agak jauh kira-kira lima kilometer melalui laluan utama namun difahamkan kesemua kanak-kanak terbabit berjalan kaki ke lokasi kejadian menggunakan jalan pintas.

Sementara itu, sepupu mangsa, James Seli, 38 yang turut berada di lokasi ketika kedua-dua mangsa ditemui berkata, tasik berkenaan kelihatan landai namun paras berhampiran tebing juga agak dalam.

“Mayat kedua-dua mangsa ditemui agak hampir dengan tebing dalam keadaan berpelukan. Jika tidak dipagar saya risau masih ada kanak-kanak yang akan datang ke sini untuk bermain air..ia agak berbahaya,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment