Monday 13 October 2014

Izreen terima jodoh bersama Amar

Izreen Azminda
Izreen Azminda

LUMRAH sebagai selebriti, semakin namanya dikenali, semakin banyak cerita-cerita peribadi yang turut menghambat diri dan diberi perhatian.

Sepanjang tempoh sembilan tahun dalam industri, 2014 merupakan tahun yang paling mencabar buat pelakon cantik ini. Bermula dengan isu penceraian, Izreen Azminda terus dijadikan sasaran kontroversi demi kontroversi.

Pernah dituduh kurang menghormati tempoh edah, pelakon drama Perjalanan ini juga menerima pelbagai bentuk kritikan dan cemuhan, apatah lagi dirinya turut dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon, Amar Baharin, walaupun baharu sahaja bercerai.

Mengakui agak terkilan dengan tuduhan yang tidak berasas, Izreen akui dia terpaksa menutup telinga agar kontroversi yang tercetus itu tidak mempengaruhi urusan kerjayanya.

"Sejujurnya, memang saya rasa tertekan bila terlalu banyak perkara negatif yang dituding ke arah saya. Namun, saya lebih selesa untuk berdiam diri dan tidak mudah melatah.

"Berkenaan dengan tuduhan hubungan cinta bersama Amar, buat masa ini, dia adalah kawan saya. Malah, kami berkawan sejak saya anak dara lagi. Cuma kini perhatian lebih diberikan padahal hubungan ini sudah lama terjalin.

"Saya tidak marah sekiranya ada peminat yang mendoakan hubungan kami, namun sedih bila dituduh dengan benda-benda negatif," katanya ketika ditemui ketika sidang media Anugerah Skrin 2014 di Sri Pentas.

Tambah Izreen, buat masa ini, dia belum terfikir untuk mencari pengganti kerana tumpuannya lebih kepada kerjaya dan membesarkan si kecil, Muhammad Umar Adrian yang kini berusia setahun tiga bulan.

"Buat masa ini, hati saya belum terbuka untuk mencari pasangan. Saya lebih selesa begini dan tidak akan membiarkan lelaki melukai hati saya dalam masa terdekat ini.

"Namun, saya tahu, jodoh itu rahsia ALLAH SWT dan saya tidak mampu menolak. Bukan sahaja dengan Amar, malah dengan mana-mana lelaki sekalipun, saya terima sekiranya ada jodoh di kemudian hari," katanya yang turut dilantik sebagai duta program, Jom Kahwin bersama Amar.

Bekas suami tak abai nafkah

Walaupun kisah penceraiannya turut dikaitkan dengan kontroversi hebat, namun Izreen memberitahu segalanya telah selesai dan segalanya berjalan dengan baik.

Malah, dia dan bekas suami, Muhammad Riza Baharuddin, masih berkawan dan tidak mendendami antara satu sama lain demi kebaikan anak tunggalnya.

"Saya mendapat hak jagaan sepenuhnya terhadap anak saya, namun bekas suami dibenarkan melawat. Hak bermalam hanya akan diberikan selepas anak saya berusia empat tahun. Ini kerana saya tahu kesibukan jadualnya.

"Alhamdulillah, sepanjang tempoh ini, bekas suami tidak mengabaikan nafkahnya terhadap anak dan saya hanya meminta nafkah edah sahaja. Saya juga tidak minta lebih kerana saya tahu kemampuannya setakat mana.

"Mengenai anak pula, saya menguruskannya sendiri dengan bantuan ibu saya. Sekiranya saya bekerja, ibu akan mengambil alih menjaganya," katanya yang sah bercerai pada 9 Jun lalu.

Ditanya mengenai kriteria lelaki yang menjadi pilihannya kelak, Izreen memberitahu lelaki itu perlulah menerima dirinya seadanya.

"Dalam soal pasangan, saya meletakkan prioriti kepada anak. Sekiranya satu masa nanti, ada yang mahu mendekati saya secara serius, dia perlu menerima anak saya juga.

"Kalau dia tak boleh terima 'pakej' yang saya ada, dia boleh cari pilihan 'ala carte' yang lain. Pun begitu, ramai yang mencuba sebenarnya. Cuma hati saya keras mengatakan ianya bukan sekarang," jelas Izreen lagi.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment