Monday 13 October 2014

Hujan lebar: Dua anggota polis maut pokok tumbang di Kampung Attap

Dua anggota polis maut dalam kejadian pokok tumbang yang menghempap kontena pondok polis akibat hujan lebat - Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis maut dalam kejadian pokok tumbang yang menghempap kontena pondok polis akibat hujan lebat yang melanda sekitar ibu negara pada hari Ahad.

Dua anggota polis yang maut dalam kejadian kira-kira 7 malam di Jalan Bellfield, Kampung Attap di sini itu dikenali sebagai Konstabel Mohd Sharil Hisham Hashamdi, 25, dan Koperal Dzulkhairi Ahmad, 48.

Mohd Sharil Hisham meninggal dunia di tempat kejadian manakala Dzulkhairi meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah, kedua-dua mangsa bertugas dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPKKL) dan ditugaskan di lokasi berkenaan yang menjadi pejabat setor menyimpan barang kes.

Bercakap kepada pemberita di Zon Kritikal HKL, beliau berkata hujan lebat petang Ahad menyebabkan sebatang pokok tumbang lalu menghempap pondok polis itu.

Zainol berkata Allahyarham Mohd Sharil Hisham berasal dari Sabah manakala Allahyarham Dzulkhairi berasal dari Kerinchi, Kuala Lumpur.

"Anggota keluarga kedua-dua mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian itu. Bedah siasat akan dilakukan esok," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan operasi mengeluarkan mangsa melibatkan 28 anggota dari balai Sungai Besi dan Hang Tuah.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment