Sunday 24 August 2014

Enam lelaki larikan barang kemas RM900,000 dalam tiga minit

Sejurus rompakan, suspek terus melarikan diri dengan sebuah kereta yang dipandu seorang lagi suspek. - Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Enam lelaki bersenjatakan tukul besi melarikan 20 dulang barangan kemas yang dianggar bernilai RM900,000 dalam masa tiga minit sahaja dari sebuah kedai emas di Taman Connaught, Cheras semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Superintenden Abd Rahim Hamzah Othman berkata ketika kejadian pada 12.30 tengah hari, terdapat dua pekerja di kedai berkenaan yang terletak dalam sebuah pasar raya.

"Pada ketika itu, seorang daripada suspek memegang satu objek yang menyerupai pistol diacukan di udara tetapi tiada tembakan yang dilepaskan serta tidak berlaku sebarang kecederaan manakala empat yang lain memecahkan cermin pameran dengan tukul besi dan melarikan 20 dulang barangan kemas," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata sejurus selepas itu, mereka terus melarikan diri dengan sebuah kereta yang dipandu seorang lagi suspek.

Abd Rahim berkata ketika kejadian, kesemua suspek memakai topeng ski hitam dan polis masih mengesan kereta yang digunakan selain menjalankan siasatan lanjut berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebelah kedai emas itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata dan berkumpulan," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment