Penyelia Penerbangan Kabin MAS, Allahyarham Mohd Ghafar Abu Bakar - Gambar Fail
"Selepas ini kita mungkin tidak bertemu lagi"
Itu kata-kata terakhir Penyelia Penerbangan Kabin MAS, Mohd Ghafar Abu Bakar yang terkorban dalam tragedi pesawat MH17 kepada rakan-rakan sepejabatnya sebelum menaiki pesawat ke Amsterdam itu.
Perkara itu dimaklumkan salah seorang rakan rapatnya, Noria Abdul Rahman, 52 tahun yang juga salah seorang kakitangan kru kabin MAS.
"Dia (Allahyarham Mohd Ghafar) cakap dia hendak bersalam sebab takut nanti tidak berjumpa lagi. Bila dia kata macam tu kita tidak terkejut tetapi bila dapat berita malam itu memang kita terkejut sebab kita tahu dia on board,"
"Saya tidak dapat hendak jangka kenapa dia bersalam, tapi dia kata nanti abang tak jumpa, kita tak boleh nak kesan, lagi pun dua minggu kan, terlalu awal rasanya," katanya semasa ditemui Astro AWANI di luar Kompleks Bunga Raya, KLIA.
Menceritakan keperibadian Allahyarham, Noria menjelaskan Mohd Ghafar disifatkan sebagai sahabat yang baik dan sentiasa berjenaka.
"Terkejut sangat dengan kematian arwah sebab kita baru balik sembahyang terawih dan apabila diberitahu salah seorangnya krunya, abang Ghafar on board, sedih sangat sebab kita kenal dia. Arwah seorang yang baik, seorang yang beriman dan kelakar,"
"Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah semasa dua minggu sebelum Amsterdam flight dia. Dia datang ofis jumpa kita semua. Memang kita baik dengan dia," ujarnya.
Kepada pihak berkuasa beliau berharap individu yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 hingga mengorbankan nyawa mereka yang tidak bersalah dibawa ke muka pengadilan.
"Kita harap dapat dibawa ke muka pengadilan yang betul sebab kita bagi pihak yang tidak bersalah, jadi rasa macam tidak adillah jika tidak dibawa ke muka pengadilan yang betul," ujar Noria.
Allahyarham Mohd Ghafar Abu Bakar meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak. - Astro Awani
No comments:
Post a Comment