Sunday, 24 August 2014

Calon Pelakon Wanita Terbaik mahu beli pakaian cantik ke FFM26 sebelum maut

Kalpana Sundraju yang sudah 10 tahun berlakon drama dan filem tamil selamat disemadikan di Pusat Krematorium Petaling Jaya pada pukul 2 petang Sabtu - Foto Facebook

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang pelakon yang maut akibat terjatuh dari apartmentnya, untuk membeli pakaian cantik bagi menghadiri Festival Filem Malaysia 26 (FFM26) tidak kesampaian.

Mendiang Kalpana Sundraju, 44 yang buat julung kalinya menjadi pelakon tamil pertama tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik FFM26 merancang untuk berbuat demikian pada Sabtu.

Namun, mendiang ditemui meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat lapan apartmentnya di Seputeh pada 21 Ogos lalu.

Kalpana tercalon bagi filem Dhusrajanam yang turut menjadi filem tamil pertama tercalon untuk kategori Filem Terbaik.

“Kali pertama mendapat tahu namanya tercalon, dia menghubungi saya kerana begitu gembira.

Sepatutnya hari ini, dia dan ibu merancang mahu mencari pakaian yang sesuai ke FFM26” beritahu adik mendiang, Vern Sundraju ketika dihubungi Astro AWANI.

Mendiang yang sudah 10 tahun berlakon drama dan filem tamil selamat disemadikan di Pusat Krematorium Petaling Jaya pada pukul 2 petang Sabtu.

Menurut pengarah filemnya, M. Subash kehilangan Kalpana sememangnya amat dirasai seluruh warga produksi.

“Kalpana memang seorang pelakon yang berbakat besar dan boleh pergi jauh. Sayang sekali pencalonan buat kali pertama ini tidak dapat dihadirinya.

Sepatutnya kami akan bertemu untuk sesi pembacaan skrip bagi filem tamil baharu akan datang.” kata Subash.

Subash yang juga pelakon utama filem Dhusrajanam berkata, pencalonan ini merupakan penghargaan buat penggiat filem tamil sepertinya dan juga satu penghargaan buat Kalpana.

Kata Subash lagi, watak Kalpana sebagai wanita estet yang gilakan harta di dalam filem tersebut, berjaya dibawa dengan baik sekali oleh mendiang. Sebelum berlakon di dalam filem berkenaan, mendiang sendiri menghubungi Subash untuk menghadiri ujibakat bagi watak tersebut. Filem Dhusrajanam adalah arahan bersama Subash dan adiknya, M. Suurya.

Mereka berdua akan hadir ke FFM26 sebagai mewakili mendiang.

Selain Dhusrajanam ,mendiang Kalpana turut berlakon sebuah filem melayu bertajuk ‘Mistik, Syirik danTahyul’ terbitan Renbash Entertainment yang bakal ditayangkan pada 16 Oktober ini.

Sebelum ini, Kalpana telah diumumkan sebagai satu-satunya pelakon tamil yang bertanding menerusi filem Dhsurajanam di samping Sharifah Amani, Diana Danielle, Ummi Nazeera dan Lisa Surihani. Mendiang meninggalkan dua anak perempuan yang berumur 22 dan 20 tahun. Punca kejadian masih di bawah siasatan polis.

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment