Monday, 14 April 2014

Yen Mei cemerlang, bakal temui laluan sukar pada pusingan kedua


ALOR SETAR: Pemain remaja wanita negara Ho Yen Mei bangkit selepas ketinggalan set pertama untuk menundukkan Lee Chia Hsin dari Taiwan dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2014 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, Ahad.

Yen Mei, 18, yang tampil lebih tenang kali ini, bagaimanapun melalui cabaran sengit berdepan lawannya sebelum menang 'rubber set' 21-17, 14-21, 21-11.

"Saya rasa lawan saya bukan bermain pada tahap sebenarnya kerana mungkin dia keletihan selepas beraksi dalam acara beregu campuran sebelum perlawanan tadi," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Dalam pusingan kedua Isnin, Yen Mei bakal berdepan cabaran besar apabila bertemu pemain China Qin Jinjing yang berada di ranking keenam remaja dunia.

Rekod pertemuan kedua-dua pemain ini adalah seimbang di mana daripada dua pertemuan, Yen Mei pernah menang sekali dan tewas sekali ketika berdepan Jinjing.

Jurulatih perseorangan negara Rony Agustinus berkata beliau berpuas hati dengan penampilan empat pemain perseorangan wanita yang berjaya melepasi pusingan pertama.

Katanya, walaupun Yen Mei masih belum mempamerkan persembahan yang maksimum, pemain itu masih mempunyai masa untuk membuat persediaan berdepan lawannya Isnin.

Mengulas sistem undian perseorangan yang berubah pada saat akhir Sabtu, Rony berkata ia sedikit sebanyak menjejaskan persediaan dan emosi para pemain perseorangan wanita.

Selain Yen Mei, pemain perseorangan wanita yang mara ke pusingan kedua Goh Jin Wei menewaskan Haramara Gaitan dari Mexico 21-9, 21-11 manakala Lee Ying Ying menang mudah ke atas pemain Afrika Selatan, Anri Schooness 21-4, 21-6 dalam masa 13 minit.

Tew Jia Jia yang tampil kali pertama menewaskan Tessa Kabelo dari Botswana 21-4, 21-15.

Isnin, Jin Wei akan berdepan pemain Thailand Thailand Thamolwan Poopradubsil manakala Ying Ying akan bertemu Airah Mae Nicole Albo dari Filipina. Jia Jia pula akan berdepan Maria Dmitrieva dari Russia.

Dalam pada itu, tiga pasangan beregu campuran juga berjaya mara ke pusingan kedua selepas menundukkan lawan masing-masing.

Pasangan Tan Jinn Hwa/Goh Yea Ching akan bertemu pasangan Indonesia Gea Kamahamas/Marsheilla Gischa Islami, Ooi Zi Heng/Yap Zhen berdepan B.R. Sankeerth/Mira Mahadevan dari India dan Goh Sze Fei/Peck Yen Wei akan menghadapi Yeung Shing Choi/Wu Yi Ting dari Hong Kong.

Bernama

No comments:

Post a Comment