Monday 14 April 2014

Ahmad Shabery kata siasatannya dapati tiada panggilan dari pembantu juruterbang

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek - Gambar Fail


KEMAMAN: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata siasatannya menunjukkan tidak ada panggilan dibuat pembantu juruterbang pesawat MAS Penerbangan MH370 pada 8 Mac.

Ahmad Shabery berkata beliau bersetuju dengan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menafikan laporan sebuah akhbar tempatan yang mendakwa pembantu juruterbang itu ada membuat panggilan.

Ahmad Shabery berkata beliau telah cuba mendapatkan maklumat dengan mereka berkenaan dan mereka mengesahkan tidak ada panggilan dibuat oleh sesiapa dari pesawat tersebut.

"Saya memohon supaya semua pihak lebih bertangungjawab mengeluarkan kenyataan kerana kenyataan yang tidak bertanggungjawab, boleh menyebabkan kekeliruan kepada masyarakat.

"Ia juga boleh menyulitkan lagi proses pencarian (pesawat yang hilang itu) yang sepatutnya diberi keutamaan kepada mereka yang bertanggungjawab," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program turun padang dan melawat warga uzur di Kampung Gong Cengal, Kemasik dekat sini pada Ahad.

Pada Sabtu Bernama melaporkan Hishammuddin menafikan laporan sebuah akhbar tempatan mengenai perkara itu.

Panggilan telefon itu kononnya dibuat ketika pesawat itu terbang rendah berhampiran Pulau Pinang.

Hishammuddin berkata jika dakwaan akhbar itu benar, beliau sepatutnya mengetahui perkara itu dari awal lagi.

Bernama

No comments:

Post a Comment