KOTA KINABALU - Mahkamah Tinggi di sini diberitahu sekurang-kurangnya tiga pertempuran antara pasukan keselamatan dan penceroboh bersenjata meletus di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 1 Mac tahun lepas.
Komando VAT69 Koperal Che Hasdi Che Hussin berkata pada mulanya beliau mendengar tembakan dari sektor B, C dan D ketika melakukan tinjauan di sektor A.
Katanya, beliau segera berlari ke arah bunyi tembakan itu namun tidak dapat pergi lebih jauh berikutan keadaan rupa bumi di kawasan berkenaan.
Che Hasdi memaklumkan mahkamah bahawa beliau mendengar bunyi tembakan dari arah kiri dan kanan namun tidak berupaya membantu rakannya di ketiga-tiga sektor.
"Di sebelah kiri, saya mendengar tembakan yang dilepaskan kumpulan penembak hendap VAT69 ke arah penceroboh bersenjata manakala di sebelah kanan, saya nampak beberapa anggota pasukan kami terlibat dalam pertempuran itu," katanya.
Sebanyak 30 tertuduh terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan dalam kes ini.
Mereka berdepan pelbagai tuduhan iaitu menjadi anggota kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April 2013.
Perbicaraan di depan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok. - Bernama
No comments:
Post a Comment