TIDAK ada negeri yang sehebat Kelantan dan Johor apabila bercakap tentang semangat kenegerian. Betulkah sentimen seperti itu tidak ada di negeri lain termasuk Selangor? Adakah ini satu kenyataan berfakta atau persepsi semata-mata?
Hakikatnya, nilai sebuah cinta apatah lagi yang bersandarkan kepada semangat patriotisme adalah sesuatu yang subjektif.
Kelantan yang sinonim dengan rakyatnya yang setia kepada negeri barangkali lebih menonjol dari aspek penggunaan bahasa/loghat berbanding negeri-negeri lain.
Bagaimana dengan Selangor...wujudkan semangat Selangorian dalam diri anak-anak jati negeri ini? Ramai berpandangan sukar untuk menilai anak jati negeri Selangor melainkan pada kod Mykad yang tertera. Mungkin ada yang tidak setuju!
Sebut mengenai Selangor apakah yang terlintas di fikiran anda...pasukan bola sepak Selangor? Negerinya yang maju? Rakyatnya yang padat atau mercu tandanya Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang tersergam indah di Shah Alam?
Mungkin ramai tidak menyedari apabila nama Selangor disebut jarang sekali entiti atau simbol yang melambangkan negeri ini muncul dalam pemikiran masing-masing.
Tidak seperti negeri lain yang terkenal dengan adat resam, budaya dan makanan popular masing-masing, Selangor mungkin terselindung dek kemasukan pelbagai kelompok, rencah adat dan budaya masyarakat negeri lain yang menghuni di negeri ini.
Siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan untuk menyemat semangat kenegerian di kalangan generasi muda Selangor supaya adat dan budaya tidak lenyap dek arus kemodenan?
Untuk melihat secara dekat sentimen itu di negeri ini, ikuti kupasan Fokus Khas Sinar Harian.
Merah kuning satukan rakyat Selangor
SELANGOR tidak akan terkenal jika sukan bola sepak tidak mencetuskan fenomena. Satu ketika dahulu, bola sepak membentuk jati diri kental dan semangat kenegerian yang menebal dalam kalangan rakyat negeri ini.
Selain Kelantan, keunikan dan kehebatan yang ada pada Selangor dalam sukan itu juga dicemburui apabila berjaya membentuk identiti rakyat yang fanatik dan luar biasa.
Sebagai contoh, kehebatan jati diri rakyat Selangor pernah tercetus sewaktu zaman kegemilangan bola sepak negeri itu pada era 80-an dan 90-an yang menjadi kegilaan ramai.
Kehebatan sorakan bersama warna merah kuning jelas memperlihatkan betapa mereka bersatu dan maju setapak berbanding negeri lain.
Kehebatan ‘supermokh’ iaitu pemain legenda Allahyarham Mokhtar Dahari yang dinantikan aksinya di tengah padang menjadi faktor penyokong merah kuning memenuhi Stadium Merdeka.
Namun, era kegemilangan itu semakin pudar apabila arena bola sepak Selangor merudum prestasinya.
Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi turut bersetuju malah akui tanpa Supermokh satu kehilangan besar kepada rakyat negeri ini apabila jelas semangat kenegerian dalam konteks sukan semakin hilang.
Beliau tidak menolak hakikat sukan bola sepak sinonim dengan rakyat Selangor kerana ia menjadi pencetus kepada semangat kenegerian dan perpaduan rakyat Selangor dahulu.
Bagaimanapun katanya, nilai itu hampir lenyap kerana beberapa faktor seperti kelemahan dan kegagalan pengurusan pasukan memberi keyakinan dan harapan kepada penyokong Selangor.
“Penyokong Selangor adalah penyokong terbaik di negara ini dan sentiasa menjadi tulang belakang kepada kejayaan pasukan Selangor, apatah lagi kalau pasukan itu pemain kelahiran negeri ini,” katanya.
Namun beliau masih percaya semangat dan sayangkan negeri Selangor di kalangan rakyat masih tebal dan utuh seperti dulu.
“Saya ada bertemu dengan kelab-kelab penyokong Selangor yang memang mengharapkan satu perubahan besar berlaku dalam sukan di negeri Selangor.
“Secara keseluruhan, kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk membangunkan sukan di negeri ini dan berharap akan memperoleh kemajuan pada masa akan datang dan mengembalikan semangat kecintaan rakyat kepada negeri ini,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment