Monday, 7 April 2014

Kemasukan pendatang tanpa izin ke Kelantan meningkat

-- gambar fail


KOTA BHARU: Kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Kelantan tahun ini semakin meningkat, demikian menurut Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Negeri.

Komandernya Rusli Karim berkata ini kerana dalam tempoh Januari hingga Ahad, pihaknya berjaya menahan 545 orang PATI berbanding 706 orang pada sepanjang tahun lepas.

"Kalau ikutkan trend memang ada peningkatan kemasukan pendatang tanpa izin kerana ketika operasi 6P Fasa II dilancarkan mereka ini balik ke negara masing-masing.

"Mereka akan kembali semula ke sini untuk bekerja sebab itu kita jangka angka tersebut akan meningkat dan rata-rata yang ditahan adalah warganegara Bangladesh, Myanmar, Thailand, dan Pakistan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, Ahad.

Dalam kes terbaharu semalam, Rusli berkata pihaknya berjaya menahan 15 orang pendatang tanpa izin yang kesemuanya warganegara Myanmar berumur antara 11 dan 69 tahun serta merampas tiga kenderaan bernilai RM130,000 di sebuah ladang di Kampung Air Batu, Tanah Merah.

Katanya, kesemua PATI itu ditahan pada pukul 3.45 pagi dan dipercayai untuk dihantar ke Lembah Klang.

"Hasil risikan, kesemua mereka ditahan di dalam dua buah kenderaan berasingan di mana terdapat sembilan orang di dalam kereta jenis Honda Stream dan enam lagi berada di dalam kereta Proton Persona.

"Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan kenderaan mewah untuk membawa mereka ke Lembah Klang selain bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket ini membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan melalui Sungai Golok.

"Mereka masuk ke dalam negara melalui pangkalan haram dan kita percaya sindiket ini mengenakan bayaran sebanyak RM170 sehingga RM270 untuk setiap seorang.

"Sindiket tersebut dipercayai menjanjikan perkerjaan terhadap kesemua mereka di kawasan Lembah Klang," katanya.

Rusli berkata kesemua 15 pendatang asing itu akan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa pas sah. - Bernama

No comments:

Post a Comment