Monday, 7 April 2014

Misha menghitung hari

Misha menghitung hari

SETELAH tiga kali terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan, akhirnya penyanyi yang terkenal dengan lagu Bunga-bunga Cinta, Misha Omar atau nama sebenarnya Samihah@Aisha Omar, 32, bakal melangsungkan perkahwinan pada 2 Mei ini bersama Firos Ezzwan Rossly, 32.

Misha mengikat tali pertunangan bersama Firos yang juga juruterbang Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) pada Februari 2012, dan pertama kali merancang mahu berkahwin pada September 2012.

Bagaimanapun hari pernikahan mereka terpaksa ditangguhkan kerana tunangnya perlu mengikuti latihan bagi mendapatkan lesen airbus.

Kemudian mereka merancang untuk melangsungkan pernikahan pada Februari 2013, akan tetapi jadual kerjaya seni Misha terlalu pada sehingga Oktober tahun sama.

Seterusnya Misha dan Firos sepakat untuk melangsungkan perkahwinan pada Februari 2014, namun takdir menentukan segalanya apabila ayah Misha, Omar Ismail, 75, meninggal dunia pada awal Disember tahun lalu.
Misha berkata, dia sudah pun mula mengedarkan kad jemputan kahwin dan akan dihadiri kira-kira 500 orang tetamu.

“Kad kahwin sudah pun diedarkan bermula hari ini (Sabtu).

Majlis pernikahan akan berlangsung di sebelah pagi manakala acara resepsi pula diadakan pada sebelah malam di Hotel Renaissanse Kota Bharu, Kelantan,” katanya yang ditemui dalam satu sidang media khas di restoran Holy Smoke, kelmarin.

Misha hormati permintaan ibu

Berkongsi dengan lebih lanjut mengenai hari bahagianya itu, Misha berkata majlis perkahwinannya akan di buat secara sederhana apatah lagi mereka sekeluarga masih bersedih di atas pemergian arwah bapa mereka.

“Kalau ikutkan saya mahu membuat majlis akad nikah sahaja, tapi ibu mahu juga saya bersanding dan keputusan untuk membuat majlis di Kota Bharu juga kerana mengikut permintaan ibu.

“Dia masih lagi rasa kehilangan dan tidak mahu berada jauh dari rumah. Walaupun pada asalnya saya mahu mengadakan majlis perkahwinan di sini tapi demi ibu saya tak kisah untuk teruskan di Kota Bharu,” katanya.
Tambah Misha lagi, segala persiapan berjalan dengan lancar biarpun membuat persiapan pada masa yang singkat.

“Ibu memaklumkan pada saya dan adik beradik yang lain untuk melangsungkan majlis saya dengan segera selepas kenduri tahlil arwah ayah selepas 40 hari pemergiannya ia mesti dilangsungkan pada bulan Rejab. Biarpun pada asalnya saya merancang untuk melangsungkan perkahwinan selepas raya.

“Tapi memang betullah apa yang orang kata, kalau masanya memang sudah sampai, semua urusan kita akan dipermudahkan. Persiapan majlis perkahwinan saya berjalan dengan lancar berbanding ketika kami merancang untuk adakan pada bulan Februari dahulu, ada sahaja masalah atau halangan yang timbul,” ujarnya.

Sementara itu, tunang Misha, Firos berkata, dia memang sudah bersedia untuk menjadi suami Misha.

“Kami berkawan sudah lama, jadi saya memang sudah bersedia untuk bergelar suami kepada Misha. Bagaimanapun, debaran untuk melalui saat-saat disatukan itu memang ada. Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan baik nanti,” katanya.

Sedih berpisah

Dalam pada itu, Misha berkata, dalam debaran menanti hati bahagiannya itu, dia sebenarnya bersedih kerana perlu berpisah dengan kakaknya yang dikenali sebagai Mimie.

Apatah lagi, dia dan Mimie mempunyai hubungan yang cukup rapat kerana Mimie bukan sahaja menguruskan kerjaya seninya selama ini tetapi juga turut menyiapkan segala-galanya termasuk memasak buat Misha.

“Bukan sahaja rapat kerana mempunyai hubungan adik beradik tapi kami juga rapat kerana Mimie menyediakan segalanya untuk saya.

“Apabila bercerita mengenai perkahwinan saya, kami menangis kerana kami tidak mungkin akan duduk sebumbung seperti biasa,” katanya.

Misha berkata, bukan dia dan Mimie sahaja yang berasa sedih, bahkan anak angkatnya iaitu Muhammad Adam Emir, 8, juga bersedih kerana terpaksa berpisah dengan anak angkat kakaknya, Arissa, 7, yang mana kedua-dua mereka begitu rapat.

“Mereka sangat rapat dan apabila mendapat tahu akan berpisah selepas saya berkahwin, kedua-duanya bersedih. Tetapi Adam memberi kata-kata positif kepada Arissa yang mereka masih lagi boleh berjumpa, cuma tidaklah kerap seperti biasa,” ujarnya.

Karier seperti biasa

Menyentuh soal kerjayanya pula, Misha berkata dia akan meneruskan karier seninya selepas berkahwin. Bahkan dia juga tidak menghalang Firos untuk menjadi juruterbang biarpun selepas insiden MH370.

“Kami menghormati dan menyokong karier masing-masing. Bahkan selepas selesai majlis, saya akan kembali bekerja.

“Saya juga akan keluar dengan album baru tidak lama lagi yang mengandungi lapan buah lagu dan hanya tiga lagu lagi yang masih belum dirakamkan kerana menanti Datuk M Nasir,” katanya.

- Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment