Monday 7 April 2014

Paintball Marker diberi pengecualian di bawah Akta Senjata 1960

-- gambar fail

MELAKA: Proses pengecualian lesen sah untuk 'paintball marker' dalam sukan perlu dipercepatkan bagi memastikan pembangunan sukan itu tidak terjejas, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah bersetuju terhadap pengecualian lesen sah untuk paintball marker.

Mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960, paintball marker diiktiraf sebagai senjata tiruan dan pemilik perlu mendapatkan lesen sah.

Bagaimanapun, Khairy berkata Menteri Dalam Negeri mempunyai bidang kuasa untuk mengecualikan lesen untuk paintball marker.

"Datuk Seri Zahid memaklumkan pada saya bahawa beliau sebagai Menteri Dalam Negeri sudah buat keputusan untuk kecualikan paintball marker daripada akta itu," katanya di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pembatalan pusingan kedua Liga Paintball Kebangsaan yang disertai oleh 450 peserta selama dua hari bermula kelmarin di Dataran Pahlawan di sini.

Penganjur terpaksa membatalkan kejohanan tersebut kerana penggunaan paintball marker tanpa lesen yang sah menyalahi Akta Senjata 1960.

Bagaimanapun, Khairy berkata proses pengecualian itu memerlukan masa untuk dilaksanakan kerana ia melibatkan banyak prosedur antaranya penelitian oleh bahagian undang-undang Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Terdahulu, Ketua pemuda UMNO itu merasmikan Persidangan Kelompok Tahunan UMNO Cawangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kota Melaka di sini.

Pada November tahun lepas, polis memberikan tempoh sebulan kepada pemilik senjata api tiruan terutama yang digunakan dalam sukan menembak seperti paintball marker, 'air soft gun' dan 'ball bearing gun' untuk menyerahkan senjata mereka kepada polis.

Polis berkata lesen senjata itu hanya boleh dipohon oleh syarikat berdaftar dengan modal berbayar RM400,000 atau kelab sukan yang diiktiraf oleh Pesuruhjaya Sukan.

"Saya faham pihak polis hanya menjalankan tugas...juga tindakan itu sah daripada segi undang-undang buat masa ini, tetapi menteri (Ahmad Zahid) telah setuju dengan pengecualian itu maka saya ingin mohon agar tiada lagi tindakan diambil sementara proses melaksanakan pengecualian paintball marker ini selesai," katanya.

Khairy berkata walaupun paintball marker disenarai dalam Akta Senjata 1960, beliau percaya alat itu tidak digunakan untuk melakukan jenayah secara berleluasa di negara ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment