Monday 7 April 2014

'Lambat dan takut ditolak'

'Lambat dan takut ditolak'
Maznah (kiri) memilih untuk memulakan perniagaannya sendiri tanpa bantuan kewangan kerajaan


PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) merupakan antara penyumbang utama kepada pendapatan negara dan perkembangan ekonomi di Malaysia.

Pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dalam membantu usahawan PKS untuk berkembang maju.

Melalui Bajet 2013 sahaja, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.25 bilion untuk membantu PKS, dan jumlah itu bertambah kepada kira-kira RM2.6 bilion dalam Bajet 2014.

Namun, ada usahawan PKS mengeluh tentang susahnya mendapatkan bantuan daripada kerajaan, bank mahupun agensi dilantik kerajaan.

Kebanyakan PKS berkata proses pembiayaan kewangan yang ditetapkan adalah sangat rumit dan memakan masa dan di penghujungnya, kebanyakan permohonan hanya akan ditolak.

Ada juga yang menyatakan lebih tumpuan diberikan kepada PKS yang sudah berjaya berbanding syarikat masih baru dan sedang berkembang.

Jadi, ramai yang memilih untuk menggunakan modal sendiri semasa mula berniaga.



Ramai guna modal sendiri 


Sebut sahaja Iron Lady atau Wanita Besi Malaysia, pasti ramai tahu siapakah insan yang mendapat jolokan tersebut.

Beliau memulakan perniagaan kawalan keselamatan terkenal di Malaysia melalui syarikatnya, Securiforce Sdn Bhd. Datuk Dr Maznah Hamid yang memegang jawatan Pengerusi Eksekutif Securiforce kini menjadi inspirasi kepada ramai usahawan terutamanya wanita untuk berjaya dalam bidang perniagaan.

Bermula sebagai PKS, Maznah kini mampu tersenyum bangga kerana Securiforce menjadi antara syarikat gergasi di Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan kawalan keselamatan.

Maznah berkata, pada awal perniagaan, beliau menggunakan modal hasil duit simpanannya semasa menjadi guru bahasa dan penterjemah kepada duta asing ketika itu. 

"Semuanya bermula dengan modal sendiri, usaha sendiri, tanpa meminta bantuan daripada sesiapa. “Kini alhamdulillah, Securiforce telah pun mempunyai 68 cawangan dan berjaya menyaingi 500 buah syarikat keselamatan lain di dunia,” katanya.

Selain itu, Maznah juga memiliki beberapa anak syarikat yang sedang berkembang maju seperti Danau Lumayan iaitu syarikat pemaju hartanah berpusat di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Pengusaha dan pemilik Butik Kek Le Trianon Mohd Mursyiddin Abdul Manaf pula berkata, beliau memulakan perniagaan keknya dengan menggunakan modal sendiri.

Bermula pada penghujung 2011 dan beroperasi di Citta Mall di Petaling Jaya, Butik Kek Le Trianon kini antara PKS yang sedang berusaha mengembangkan perniagaan dengan menjual dua jenis kek khusus iaitu Kek Le Trianon dan Kek Chocolate Heaven.

Ditanya mengapa tidak memohon pertolongan dari segi modal dan latihan daripada pihak terbabit, beliau berkata prosesnya terlalu rumit dan lambat serta khuatir akhirnya permohonan mungkin akan ditolak.

"Saya tahu kerajaan ada memperuntukkan sejumlah wang ke arah membantu PKS, tetapi pihak bank, perbadanan dan agensi yang terlibat menjadikan proses itu rumit bagi usahawan PKS untuk mendapatkan pembiayaan kewangan dan latihan", katanya.



PKS perlu sokongan dalam penjenamaan


1Machine Sdn Bhd (1Machine) pula merupakan salah satu syarikat teknologi PKS yang menyediakan perisian keselamatan internet dikenali sebagai Perisai, dan memulakan perniagaan pada 2010 dengan usaha dan inisiatif sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Abbyamir Sapie ketika ditemui berkata, beliau memandang inisiatif kerajaan secara positif kerana kerajaan semakin banyak menyalurkan dana bantuan kepada usahawan teknologi melalui beberapa agensi.

“Pada aspek ekosistem pembiayaan, kami dibantu dengan agresif oleh beberapa agensi seperti Technology Park Malaysia, Yayasan Usahawan Baru Malaysia dan MyAngkasa (anak syarikat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd),” katanya.

Menurut Abbyamir, kerajaan dilihat semakin cekap menyalurkan dana kepada PKS dan syarikat beliau sentiasa menyokong inisiatif daripada kerajaan yang bermanfaat.

Namun beliau berharap kerajaan dapat membantu dari segi penjenamaan produk unik Perisai untuk memperkenalkan produk tempatan itu kepada orang ramai selain berharap kerajaan memberi lebih perhatian untuk membantu usahawan teknologi.

Usaha murni kerajaan menyediakan dana perniagaan untuk rakyat di negara ini dihargai namun ramai usahawan terutama berskala kecil mengadu mengenai kesukaran mendapatkan bantuan, dan kebanyakannya bercakap mengenai proses rumit yang perlu dilalui untuk mendapatkan pinjaman kerajaan.

Walaupun adalah sesuatu yang baik jika usahawan dapat berdiri sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak, isu ini tetap menimbulkan persoalan mengenai kecekapan agensi kerajaan menyalurkan bantuan kepada kumpulan sasaran.

Dalam pada masa sama, PKS juga perlu melihat kembali sebab mengapa permohonan mereka ditolak, adakah kerana mereka sendiri tidak memenuhi syarat kelayakan atau prosedur permohonan tidak betul?

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment