Monday 7 April 2014

Filem The Raid 2 diharamkan kerana adegan ganas


KUALA LUMPUR: Filem The Raid 2: Berandal garapan sutradara Gareth Evans diharamkan penayangannya kerana terlalu banyak adegan ganas yang ditunjukkan di dalam filem berkenaan.

Demikian menurut Pengerusi Lembaga Penapisan Filem (LPF), Dato’ Abdul Halim Abdul Hamid ketika dihubungi Astro AWANI.

“LPF mengharamkan tayangan The Raid 2 kerana terlalu banyak adegan ganas ditunjukkan di dalam filem berkenaan yang tidak sesuai untuk diluluskan.

Kita sudah melihat filem berkenaan bersama dua komuniti LPF dan laporan mengenai pengharaman filem berkenaan sudahpun diberikan kepada pengedarnya di Malaysia. Mereka (pengedar) ada laporan kita” kata Abdul Halim.

Sebelum itu, The Jakarta Globe melaporkan bahawa tiada sebab diberikan oleh pihak di Malaysia mengapa filem berkenaan diharamkan.

Calon Presiden Parti Demokrat, Pramono Edhie Wibowo meminta agar Malaysia memberikan penjelasan mengapa filem ini diharamkan penayangannya.

“Ini adalah berita yang mengejutkan, kerajaan Malaysia mengharamkan filem ini tanpa memberi apa-apa alasan.

"Saya juga menuntut Kementerian Luar Negeri secara aktif melaksanakan fungsi pengantaraanya dengan kerajaan Malaysia" kata Pramono kepada The Jakarta Globe.

Sementara itu, jurucakap pengedar filem The Raid 2, Nusantara Edaran Filem yang dihubungi Astro AWANI memberitahu bahawa berita pengharamannya sudahpun dimaklumkan kepada penerbit filem berkenaan di Indonesia sebaik sahaja menerima laporan berkenaan dari LPF.

“Kami sudah maklumkan kepada penerbit The Raid 2 mengenai laporan LPF dan pihak penerbit di sana mahu kami mencuba sedaya upaya supaya filem itu tidak diharamkan.

“Kami masih cuba merayu kepada LPF agar meneliti sekali lagi kandungan filem berkenaan” jelasnya.

Menurut jurucakapnya lagi, laporan pengharaman dari LPF telah diterima oleh pihak mereka seminggu sebelum tarikh penayangannya di Malaysia.

“LPF telah membuat rebiu sebanyak dua kali ke atas filem berkenaan, dan ianya diharamkan untuk ditayangkan di sini kerana ada adegan ganas yang tidak sesuai dan berdurasi panjang” katanya.

Filem The Raid 2: Berandal sepatutnya ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia pada 27 Mac yang lalu.

The Raid 2 adalah filem aksi seni mempertahankan diri yang merupakan sekuel kepada filem The Raid: Redemption.

Filem ini dibintangi oleh nama yang tidak asing lagi seperti Iko Uwais, Yayan Ruhian dan Arifin Putra.

Ia berkisarkan Iko sebagai Rama, seorang pegawai polis SWAT yang menyamar dalam misi mendedahkan kes rasuah di dalam pasukan polis.

Sekuel pertama, The Raid: Redemption sebelum ini telah ditayangkan di Malaysia pada tahun 2011.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment