Musliza menunjukkan barangan mangsa.
SKUDAI – Kegembiraan enam murid yang pulang dari tadika bertukar tragedi apabila van yang dinaiki menggelongsor lalu terjunam ke dalam loji kumbahan di Taman Universiti, di sini, semalam.
Mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian jam 11.30 pagi itu adalah Muhammad Azri Aqif Azhar, 4.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Khamsani Abdul Rahman berkata, tragedi menyayat hati itu melibatkan mangsa bersama lima yang lain iaitu Nur Aima Abd Razak, 5; Muhammad Hadif Syauqi Samsol Akamal, 5; Daniel Asyraf Abdullah, 5; Danial Aiman Hakimi Md Gefri, 6 dan Sakinah Roslan, 4.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati pemandu van iaitu seorang wanita berusia 44 tahun berada di luar kenderaan dan sedang menjemput kanak-kanak tadika lain memasuki kenderaan tersebut untuk dibawa pulang.
“Pada masa itu, pemandu berada di luar dan terdapat enam kanak-kanak berada dalam van sekolah tersebut yang tiba-tiba menggelongsor lalu melanggar pagar kawasan kolam kumbahan sebelum kenderaan itu terjunam ke dalamnya.
“Semasa kejadian enjin van sekolah itu dimatikan dan brek tangan juga dinaikkan," katanya semalam.
Mohd Khamsani berkata, pemandu berkenaan sudah bekerja selama lima tahun kini ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.
Beliau berkata, mangsa, Muhammad Azri Aqif Azhar dikejarkan ke Hospital Kulaijaya bagi mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan.
Katanya, hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa adalah akibat lemas.
Manakala seorang rakan mangsa berada dalam keadaan kritikal dan empat lagi yang kesemuanya berusia lima tahun dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapat rawatan lanjut.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kami reda, pasrah
Suasana sedih menyelubungi kediaman keluarga mangsa dan ia bertambah pilu dengan teriakkan abang kepada Muhammad Azri Aqif yang tidak dapat menahan kesedihan apabila kehilangan adik dan rakan sepermainan.
Aqif merupakan anak bongsu dari tiga beradik lelaki iaitu Muhammad Azri Aniq, 9, dan Muhammad Azri Afiq, 6.
Bapa mangsa, Azhar Yusoff, 43, berkata, dia dimaklumkan kejadian sedih berkenaan oleh isterinya, Zamani Abdullah, 37, kira-kira 11.40 pagi.
Dia yang juga seorang penyelia stor bagaimanapun reda dengan ketentuan Ilahi meskipun bersedih atas kehilangan anak bongsunya itu.
“Sedih memang sedih, namun saya pasrah sudah ajalnya.
“Saya cuma tidak sempat menunaikan kehendak Aqif yang nak makan coklat sebelum ke tadika pagi tadi (semalam). Walaupun semalam (kelmarin) dia dapat memakan coklat tetapi dia mahukan lagi hari ini (semalam),” katanya.
Jenazah mangsa dibawa pulang ke kampung halaman ibunya di Kampung Gong Pak Maseh, Kuala Terengganu, Terengganu untuk dikebumikan.
Sementara itu, bapa salah seorang mangsa yang kritikal, Abd Razak Abd Latif, 35, tidak menyangka insiden berkenaan menimpa anak bongsunya, Nur Aima, 6.
“Pagi tadi (semalam) saya hantar anak ke tadika seperti biasa sekitar jam 7 pagi sebelum ke tempat kerja.
"Saya mendapat tahu tentang perkara ini melalui isteri saya, Hartini Alios yang menerima panggilan daripada pihak tadika.
“Saya terkejut dengan apa yang berlaku kerana sejak menggunakan perkhidmatan van sekolah, ini pertama kali kejadian seumpama ini berlaku,” katanya yang memberitahu Nur Aima dalam keadaan stabil meskipun belum sedar diri lagi.
Tiada kelakuan pelik
Guru kelas mangsa, Siti Nora Daim, 33 berkata, beliau berada dalam tadika ketika kejadian berkenaan berlaku dan hanya mengetahuinya apabila diberitahu seorang kakitangan.
“Saya amat terkejut dengan apa yang terjadi kerana kami baharu sahaja selesai sesi pengajaran dan pembelajaran bersama murid-murid yang terlibat.
“Sebagai guru kelas, saya turut sedih kerana saya rapat dengan semua murid terbabit. Ketika dalam kelas, semua mereka tidak menunjukkan sikap pelik kecuali Muhammad Azri Aqif yang lebih senyap dan tidak aktif seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, antara insan terakhir yang ditemui mangsa adalah pembantu tadika, Musliza Kasun, 35, yang dikatakan begitu akrab dengan Aqif kerana keletah kanak-kanak itu yang gemar bergurau.
Musliza yang masih trauma akibat kejadian itu tergamam namun beliau bersama beberapa individu lain cuba menahan van tersebut dari menggelongsor namun gagal.
“Ketika itu, saya sedang membantu murid pulang dari sekolah dan pintu van tersebut masih terbuka. Dengan tidak semena-mena, van berkenaan menggelongsor ke dalam loji berdekatan.
“Kanak-kanak dalam van tersebut tidak menjerit mungkin kerana mereka tergamam. Kami yang menyaksikan kejadian ada yang menjerit sambil cuba menahan van dari terus mengundur.
"Namun usaha itu tidak berjaya dan kejadian berlaku amat pantas. Selepas van itu memasuki loji berkenaan, beberapa penduduk terjun cuba menyelamatkan kesemua mangsa,” katanya.
Beliau berkata, kebiasaan lebih 10 murid menaiki van tersebut bagaimanapun ramai yang tidak hadir ke kelas semalam.
Musliza berkata, pada sesi persekolahan sebelum itu, Aqif bersama rakan sekelasnya diajar bermain kompang dan mangsa merupakan pelajar paling bersemangat.
Sementara itu antara saksi kejadian, Mohamad Hanafi Jaafar, 46, berkata, meskipun dirinya tidak pandai berenang, beliau nekad terjun ke loji berkenaan sebaik melihat kejadian tersebut.
“Saya sedang dukung bayi sambil perhatikan budak-budak ini pulang dari sekolah. Tiba-tiba van tersebut menggelongsor dan saya lihat salah seorang penduduk terjun dan saya terus ikut.
“Afiq merupakan mangsa terakhir yang diselamatkan selepas kira-kira tiga minit berada dalam air,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment