Tuesday 15 April 2014

Masjid Wakaf Tembesu jadi tumpuan

Masjid Wakaf Tembesu jadi tumpuan
Wan Hussin menunjukkan pokok kurma yang ditanam di pekarangan Masjid Wakaf Tembesu yang mengeluarkan buah.


WAKAF TEMBESU – Selepas sembilan tahun ditanam pokok kurma di pekarangan Masjid Wakaf Tembesu, akhirnya mengeluarkan buah.

Kawasan masjid itu kini menjadi perhatian dengan orang ramai dan jemaah yang singgah untuk solat selain melihat sendiri pokok kurma berbuah.

Walaupun hanya tiga daripada 18 pokok yang ditanam mengeluarkan buah, namun ia ternyata membuktikan bahawa pokok tersebut juga boleh mengeluarkan hasil jika ditanam di negara ini.

Menurut salah seorang jemaah yang juga turut terlibat dalam penjagaan pokok kurma tersebut, Wan Hussin Wan Mohd, pokok berkenaan mula ditanam antara tahun 2005 dan 2009 secara berperingkat.

“Saya pada awalnya juga tidak menyangka bahawa pokok kurma ini berbuah kerana pada asalnya ia ditanam untuk hiasan, namun kelmarin (Jumaat) saya dimaklumkan oleh salah seorang jemaah bahawa pokok kurma telah berbuah.

“Saya pergi melihat pokok itu dan nampak buahnya yang lebat.. agak besar mungkin sudah lama berbuah cuma tidak disedari," katanya.

Wan Hussin berkata, dia gembira kerana penat lelah selama ini berbaloi.

Dia yang pernah bekerja di Felda mengakui turut melakukan kajian ketika menguruskan tanaman tersebut.

“Berdasarkan kajian dan maklumat yang saya peroleh, proses menanam pokok kurma ini hampir sama dengan pokok kelapa sawit dan pokok salak, ia perlu ditanam secara berpasangan dan tidak boleh ditanam sepohon sahaja jika ingin melihat ia berbuah.

“Proses pembajaan ketika anak pokok juga penting,” katanya.

Bagaimanapun, katanya pokok kurma berbeza sedikit dengan jenis pokok palma yang lain kerana pelepah atau daun perlu dibersihkan secara teliti bagi mengelak gangguan terhadap proses tumbesaran pokok tersebut.

“Pokok ini juga (kurma) turut mempunyai aturan tanaman yang tertentu di mana jarak kira-kira 10 meter antara satu sama lain bagi memastikan pokok tersebut dapat membesar dengan baik dan jika bernasib baik ia boleh mengeluarkan buah,” katanya.

Wan Hussin juga berpendapat tanaman itu boleh dikomersialkan namun perlu dilakukan kajian lanjut terlebih dahulu.

“Kita banyak mempunyai kawasan berpasir terutamanya di Setiu yang boleh diusahakan dengan tanaman kurma,” katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment