Tuesday 15 April 2014

Insiden van melungsur: Mangsa alami trauma, ibu tidak salahkan sesiapa


JOHOR BAHRU: Kesemua lima kanak-kanak mangsa van menggelongsor ke dalam loji kumbahan yang kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Begitupun, ada di kalangan kanak-kanak terbabit yang masih trauma dengan kejadian yang berlaku di
Taman Universiti itu pada Isnin.

Salah seorang mangsa, Sakinah Roslan, 5, mengakui masih terbayang keadaan ketika van yang mereka naiki terjunam ke dalam loji kumbahan mengakibatkan salah seorang rakannya meninggal dunia.

Menurut Sakinah, selepas menaiki van terbabit, terdapat beberapa orang rakannya yang berebut-rebut untuk ke bahagian tempat duduk hadapan sebelum secara tiba-tiba van berkenaan bergerak sendiri.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 pada Isnin, seorang kanak-kanak berusia 4 tahun, Muhammad Azri Afiq Azhar meninggal dunia selepas van sekolah yang dinaiki menggelongsor ke loji kumbahan manakala lima lagi dimasukkan ke HSA untuk rawatan.

Seorang kanak-kanak, Nur Aima Razak, 5, yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) juga kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, ibu Sakinah, Nor Aisah Kassim mengakui redha dengan keadaan yang berlaku dan tidak pernah menyalahkan guru tadika mahupun pemandu van berkenaan.

Malah, Nor Aisah bersyukur kerana seorang lagi anaknya yang berusia 6 tahun, tiada di dalam van terbabit ketika kejadian.

Dalam pada itu, pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga Johor, Asiah Md Ariff berkata, insiden terbabit hanyalah kes terpencil dan percaya pemandu terbabit telah mengikut prosedur yang betul.

"Memang dari segi keselamatan, saya rasa pemandu van itu bertanggungjawab. Dia sudah matikan enjin dan sebagainya. Cikgu pun sama membantu. Kita tidak tahu di mana silapnya sehingga van itu boleh menggelongsor sampai masuk ke loji kumbahan itu," kata beliau.

Sementara itu Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menasihatkan orang ramai agar tidak meletakkan kenderaan mereka atau apa-apa halangan di mana-mana pintu masuk loji olahan kumbahan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Ini adalah kerana loji olahan kumbahan adalah merupakan kawasan operasi yang merbahaya dan boleh menyebabkan kemalangan. Oleh itu, orang ramai juga dinasihatkan agar mematuhi arahan-arahan dan papan tanda yang dipamerkan di sekitar kawasan loji olahan kumbahan," kata syarikat berkenaan menerusi satu kenyataan.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment