KUALA LUMPUR: Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Bhd akan membayar RM2 juta kepada 14 waris penumpang pesawat MH370 yang hilang semasa dalam penerbangan, kata Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Koh Yaw Hui.
Beliau berkata syarikat itu akan mengetepikan prosedur bagi memproses pembayaran tuntutan.
"Kami memahami situasi mereka, dan oleh itu, akan terus membuat pembayaran," katanya kepada media di luar acara perasmian Pusat Kecemerlangan Great Eastern Life baharu di sini Selasa.
Koh berkata proses pembayaran hanya mengambil masa sehari.
Beliau juga berkata semua pelanggan yang diinsuranskan dengan Great Eastern Life Assurance terdiri daripada rakyat Malaysia.
Penerbangan MH370 Malaysia Airlines yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, hilang kira-kira 40 minit dalam perjalanan.
Pesawat itu membawa 239 penumpang dan anak kapal, termasuk 153 warga China, 50 Malaysia dan tujuh Indonesia.
Sementara itu, pusat latihan moden bernilai RM20 juta itu yang meliputi kawasan seluas 60,000 kaki persegi, mampu menampung keperluan 17,000 anggota agensi itu dari seluruh negara.
Ia boleh mengisi lebih 2,000 perancang hayat pada satu-satu masa untuk sesi latihan dan bengkel.
Great Eastern Life Assurance juga menjalin kerjasama pintar dengan beberapa pengamal utama industri untuk membangunkan kurikulum latihan bagi menyokong matlamat mewujudkan tenaga kerja profesional. -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment