Tuesday 15 April 2014

Kos baik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin cecah RM100 juta

Gambar arkib pada 11 Februari lalu, seorang pekerja memasang tiang besi tempat duduk penonton di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang sedang dalam proses baik pulih. --FotoBERNAMA


KUALA TERENGGANU: Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini diberitahu kos membaiki Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dianggarkan bernilai RM100 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Rosli Othman berkata ia termasuk RM18 juta untuk membaiki struktur dan lain-lain kelengkapan, RM20 juta membaiki sistem elektrik, RM14 juta membaiki sistem mekanikal dan RM48 juta untuk membina semula bumbung yang baharu.

"Kerajaan negeri sendiri sangat dukacita kerana SSMZA dibina dengan 100 peratus pembiayaan dari kerajaan negeri," katanya dalam sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Menjawab soalan yang dibangkitkan beberapa wakil rakyat pembangkang mengenai tindakan terhadap pihak yang menyebabkan keruntuhan stadium itu, Rosli berkata juru perunding (SSMZA) kini berdepan tindakan perundangan dan masih dalam proses mahkamah.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan status dan identiti juru perunding berkenaan dengan alasan ia boleh mengganggu prosedur mahkamah.

Stadium berkenaan terpaksa menjalani proses baik pulih setelah bumbung utamanya yang bernilai RM292 juta runtuh pada 2 Jun 2009 menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah. -- Bernama

No comments:

Post a Comment