Friday, 25 April 2014

Subsidi untuk penumpang pesawat

Subsidi untuk penumpang pesawat
KLIA2 dijangka dapat menyumbang perolehan tinggi kepada MAHB terutama dari sudut penyewaan ruang komersial.


KERAJAAN boleh dianggap memberikan subsidi kepada pengguna lapangan terbang di negara ini kerana keputusannya untuk tidak menaikkan caj perkhidmatan penumpang (PSC) atau juga dikenali sebagai cukai lapangan terbang yang sepatutnya dinaikkan pada 12 Februari lalu.

Ketua Pegawai Kewangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Faizal Mansor berkata, ini kerana kerajaan pada masa ini perlu membayar RM70 hingga RM80 juta setahun kepada MAHB sebagai pampasan kerana tidak menaikkan PSC.

“Mengikut kontrak kami dengan kerajaan, sama seperti syarikat konsesi lain seperti tol dan air, kami dibenarkan menaikkan PSC setiap lima tahun.

“Tetapi kerajaan masih belum memutuskan untuk menaikkan PSC jadi mereka perlu membayar pampasan kepada MAHB,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan kewangan MAHB bagi suku pertama 2014 di Sepang, semalam.

Beliau memaklumkan perkara itu selepas ditanya mengenai PSC yang akan dikenakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang akan mula beroperasi 2 Mei depan.

Menurut Faizal, dalam perjanjian dengan kerajaan, MAHB hanya dibenarkan menaikkan caj itu jika pengendali lapangan terbang memenuhi tiga syarat berhubung kualiti dan pencapaian kewangan.

“Kami memenuhi syarat-syarat itu untuk kitaran lima tahun yang berakhir pada 12 Februari lalu dan sepatutnya dibenarkan menaikkan PSC namun keputusan akhir adalah ditangan kerajaan,” katanya.

Menurutnya, mengikut perjanjian itu, PSC di KLIA sepatutnya kini bernilai RM72 berbanding RM65 sekarang bagi penerbangan antarabangsa manakala di LCCT ia sepatutnya bernilai RM36 berbanding RM32 kini.

Bagi penerbangan domestik pula, Faizal berkata PSC yang dikenakan kini di KLIA (RM9) dan LCCT (RM6) ialah RM1 lebih rendah berbanding caj sepatutnya.

Sementara itu, mengulas prestasi kewangan MAHB, Faizal berkata, MAHB merekodkan perolehan RM781.1 juta untuk tempoh tiga bulan berakhir 31 Mac 2014, iaitu turun 24 peratus berbanding RM1.027 bilion bagi tempoh sama 2013 disebabkan
pembinaan KLIA2.

Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai MAHB bagi suku pertama 2014 meningkat 1.9 peratus kepada RM128.7 juta berbanding RM126.3 juta yang direkodkan pada suku pertama 2013.

Faizal berkata, pembukaan KLIA2 dijangka menyumbang peningkatan besar kepada perolehan MAHB terutama melalui penyewaan ruang komersil.

“Kadar penyewaan di KLIA2 adalah 100 peratus. Kami jangka 50 hingga 60 peratus kedai di KLIA2 akan beroperasi pada hari pertama pembukaan KLIA2, dan semua kedai akan beroperasi menjelang Jun atau Julai,” katanya.

Menurutnya, kenaikan tinggi dalam perolehan komersil juga akan mengimbangi kos untuk mengendalikan KLIA2 yang dijangka naik empat kali ganda berbanding LCCT sekarang.

- Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment