Friday, 25 April 2014

Rezeki dalam perangkap sampah

Rezeki dalam perangkap sampah
Karunan bersama isteri mengutip botol sebagai pendapatan sampingan, sekali gus mengurangkan sampah dibawa arus.


BATU ARANG - Jam 12 tengah hari, selepas hujan mula berhenti kelihatan pasangan suami isteri sedang sibuk mengutip botol-botol yang tersekat di laluan air deras.

V Karunan bersama isterinya, Kasturi masing-masing berusia 25 tahun dilihat asyik mengasingkan botol sementara anak kecil mereka ditinggalkan di atas motor.

Karunan yang baru bekerja sebagai pengawal keselamatan di salah sebuah sekolah tiga hari lalu memberitahu, dia tidak kisah melakukan apa sahaja kerja bagi mendapatkan wang meneruskan kehidupan.

“Saya bukan kumpul barang terpakai saja, macam-macam kerja saya buat janji dapat duit.

“Hari ini boleh dapat RM15 lepas jual botol-botol kosong ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Itulah yang dilakukan pasangan ini untuk mencari rezeki tambahan.

Walaupun kerja mengutip barang terpakai sering dipandang serong masyarakat, namun mereka lakukan bukan sahaja demi kelangsungan hidup tetapi tanpa disedari mampu berperanan dalam mengelak kejadian banjir kilat.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga kebersihan masih rendah.

Penghujung longkang didapati dipenuhi sampah yang kebanyakan terdiri daripada botol mineral tersangkut pada perangkap sampah.

Tindakan Karunan yang sanggup meletakkan keselamatan diri di nombor dua, bermandi hujan di saat orang lain mengelak terkena air harus dipandang dari sudut positif.

Tanpanya, kelancaran air pada longkang itu terganggu seterusnya menyebabkan banjir kilat berlaku memandangkan paras air sudah mencecah bahu jalan.

“Saya jarang lalu di sini cuma kebetulan nampak banyak botol yang boleh diambil dan dijual, jadi saya berhenti.” katanya.

- Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment