Friday, 25 April 2014

Kerajaan belum sedia isytihar MH370 hilang, kata Najib

PUTRAJAYA: Kerajaan belum bersedia untuk mengisytiharkan pesawat penerbangan MH370 sebagai hilang atau penumpangnya meninggal dunia biarpun lebih enam minggu pesawat Malaysia Airlines itu gagal dikesan dan tiada petunjuk yang jelas di mana ia berada.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata buat masa ini kerajaan belum bersedia untuk berbuat demikian demi menghormati perasaan waris 239 penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan.

"Pada suatu masa nanti mungkin tetapi pada masa ini saya rasa saya perlu mengambil kira perasaan waris dan sesetengah daripada mereka telah menyatakan secara terbuka bahawa mereka tidak dapat menerimanya sehingga ada bukti yang kukuh," kata Najib dalam satu wawancara eksklusif dengan CNN.

Biarpun begitu, tambah Najib, adalah sukar untuk membayangkan sebaliknya.

Wawancara itu dikendalikan oleh koresponden penerbangan stesen berita itu, Richard Quest.

Sebulan yang lalu, pada 24 Mac, Najib mengumumkan pesawat Boeing 777-200 itu mengakhiri penerbangannya di selatan Lautan Hindi, di barat Perth  ̶  "kawasan yang terpencil, jauh daripada tapak pendaratan." Rumusan itu dibuat berdasarkan kepada data satelit yang dimaklumkan oleh Inmarsat.

Malaysia Airlines kemudian mengumumkan bahawa pesawat itu dianggap hilang dan tiada yang terselamat. Pesawat yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Dalam wawancara dengan CNN, Najib menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai "ganjil" dan "tidak dapat difikirkan oleh sesiapa"  ̶  bagaimana mungkin sebuah pesawat yang sepatutnya menuju ke Beijing kemudiannya boleh sampai "separuh jalan menuju ke Antartika?"

Menurut Najib, beliau bertanya berkali-kali kepada pasukan penyiasat apakah mereka yakin tentang kedudukan akhir pesawat itu dan mereka memberitahunya "kami yakin setakat yang termampu".

Najib juga memaklumkan kerajaan akan mengeluarkan laporan awal berhubung kehilangan pesawat itu minggu depan. Laporan berkenaan minggu ini diserahkan kepada  Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ditanya apakah Malaysia telah tersalah menangani usaha mencari pesawat berkenaan, Najib menekankan betapa pihak berkuasa yang terlibat berdepan dengan keadaan yang "belum pernah berlaku sebelumnya" dan mana-mana negara pun akan menghadapi kesukaran yang sama.

Beliau juga mengakui ada yang telah dilakukan oleh Malaysia dengan baik tetapi ada juga yang tersilap seperti aspek komunikasi seperti pada peringkat awal usaha mengesan pesawat itu.

Sementara itu, Najib mengesahkan pada malam kejadian, radar tentera telah mengesan sebuah pesawat berpatah balik merentas Semenanjung Malaysia.

"Tidak ada pesawat tentera yang dikerah kerana pesawat berkenaan dianggap tidak berbahaya," kata Perdana Menteri, seraya menambah cara penerbangan pesawat itu sama seperti sebuah pesawat komersial yang berada pada laluannya yang biasa.

Usaha mencari pesawat penerbangan MH370 yang kini bertumpu di selatan Lautan Hindi hari ini masuk hari yang ke-49 tanpa sebarang petunjuk yang jelas dan belum ada sebarang serpihan yang ditemui. -- ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment