Friday 25 April 2014

Peluang jumpa Tun Mahathir

Abid memberi tazkirah pagi di lokasi jualan buku Karangkraf buat pengunjung yang hadir, semalam.


KUALA LUMPUR - Pengunjung pusat pameran dan jualan Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) pada Pesta Buku Antarabangsa 2014 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berpeluang bertemu ikon Membaca Kebangsaan, Tun Dr Mahathir Mohammad, hari ini.

Pengurus Besar Editorial Grup Buku, Sri Diah berkata, bekas perdana menteri itu akan merasmikan sebuah buku bertajuk SPR dan Pilihan Raya, hasil pengalaman dan karangan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Menurutnya, buku pertama seumpamanya di Malaysia itu, lebih kepada sebuah buku dokumentasi mengenai proses pilihan raya umum yang bermula sejak 1955.

“Tun Dr Mahathir akan hadir merasmikan buku terbaharu terbitan Karangkraf dan pengunjung dapat berjumpa beliau yang juga ikon Membaca Kebangsaan.

“Kita menjemput beliau kerana merasakan beliau paling layak berikutan pernah mengharungi banyak pilihan raya pada zaman pemerintahannya,” katanya, semalam.

Mengulas lanjut mengenai buku tersebut, Sri Diah menjelaskan buku setebal 368 halaman itu menerangkan antaranya mengenai persempadanan pilihan raya dan keputusan pilihan raya termasuk konflik yang berlaku pada PRU13 lalu.

Perasmian buku tersebut akan dirasmikan pada jam 4 petang di Pavilion Karangkraf Dewan Tun Dr Ismail dan dijual dengan harga RM24.

Dalam masa sama, pengunjung yang datang membeli buku di lokasi jualan buku Karangkraf turut berpeluang mendengar tafsir surah yang akan disampaikan khas oleh ustaz daripada Karangkraf.

Eksekutif Syariah dan Editor Kanan Penerbitan Turath Karangkraf, Abid Mohd Nor berkata, slot Ibrah Surah membawa objektif utama untuk memberikan pengisian rohani sambil pengunjung membeli buku.

“Sepanjang 11 hari akan diadakan ceramah tafsir surah selama sejam daripada penceramah berbeza yang juga penulis Karya Bestari khas untuk pengunjung pesta buku Karangkraf.

“Isi pengisian tafsir akan dipetik daripada surah berbeza yang terdapat dalam al-Quran,” katanya. 

--Sinar Harian

No comments:

Post a Comment